Inisiatif Bantu Rakyat Terkesan Banjir Dilaksana Berterusan – Reezal

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Misi pasca banjir diteruskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan secara bersepadu bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi membaik pulih dan membina semula rumah di negeri yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid melaksanakan inisiatif ini dengan turut melibatkan usaha daripada Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Kewangan (MOF), NADMA, KWP, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) dan Kerajaan Negeri.

“Di peringkat KPKT, saya dan pasukan akan memastikan usaha ini akan diselesaikan dengan kadar segera dalam tempoh masa empat hingga enam bulan ditetapkan mengikut KPI agar keresahan rakyat dapat dirawat.

“KPKT telah diperuntukkan sebanyak RM 50 juta bagi usaha ini. Pelaksanaan baik pulih rumah diperuntukkan kos RM5,000 hingga RM15,000 manakala bina baharu sehingga RM56,000.

“Bagi mengurangkan keresahan rakyat sementara menunggu rumah siap dibina, KPKT dan KPLB akan memperkenalkan baucar sewa untuk manfaat rakyat yang terlibat,” kata Reezal berkaitan hal terbabit.

Ujarnya, tanggungjawab KPKT kepada masyarakat adalah melibatkan pembaikan rumah dan bina baharu rumah yang melibatkan kawasan pentadbiran PBT yang terjejas.

“Ribuan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang telah memperuntukkan RM100 juta khusus untuk Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia ini.

“Terima kasih juga kepada semua agensi kerajaan pusat serta kerajaan negeri yang dapat bersama-sama dalam usaha kita ini. Insya-Allah, kita akan pastikan amanah dan tanggungjawab ini dilaksanakan dengan sempurna,” katanya lagi

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.