Wajar Diberi Moratorium Hingga Dis 2022 Untuk Semua Kategori Peminjam – Shahrul

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Exco Pemuda UMNO Malaysia Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin mencadangkan agar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan kesemua institusi perbankan melaksanakan moratorium kepada semua peminjam dan bukan hanya kategori B50 ke bawah seperti yang dilaksanakan melalui Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS).

Katanya, moratorium sehingga Disember 2022 perlu dinilai dan dilaksanakan dari segi impak dan keberkesanan walaupun ia sedikit menganggu sistem penciptaan kredit oleh bank-bank, tetapi sudah pasti bank tidak akan rugi kerana moratorium tidak akan mengurangkan faedah.

“Terdapat beberapa institusi kewangan yang telah menawarkan moratorium seperti BSN, Bank Rakyat, PUNB, Co-Op Bank dan beberapa lagi. Kerajaan wajar mengarahkan kesemua bank untuk membantu turut serta melanjutkan moratorium sehingga Disember 2022.

“Sekiranya moratorium dilanjutkan sehingga Disember 2022, lebih banyak impak yang dapat diperolehi dalam proses pemulihan ekonomi dengan syarat berlaku penambahbaikan terutama dalam proses pelaksanaan atau pengkategorian tawaran moratorium,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Begitu juga Shahrul memohon agar kerajaan mewajibkan pihak bank melanjutkan moratorium tanpa faedah secara automatik kepada semua peminjam yang masih terkesan dengan pemotongan gaji dan hilang sumber pendapatan.

“Lanjutan moratorium tidak akan memberi kesan yang besar kepada bank kerana berdasarkan kepada laporan Audit Tahunan Bank, bank-bank tempatan masih mencatatkan keuntungan juta-juta dan bilion-bilion di sebalik pandemik yang melanda.

“Inilah masanya bank meneruskan bantuan kepada peminjam yang sebelum ini banyak menolong bank-bank mencatatkan keuntungan berlipat kali ganda.

“Namun ia perlu disusuli dengan kempen seperti galakan membeli barangan buatan tempatan, menggalakkan eksport produk Malaysia ke luar negara dan mengurangkan pengambilan pekerja asing untuk mengelakkan pengeluaran wang ke luar negara dan seterusnya menstabilkan semula ekonomi negara,” ujarnya.

Shahrul turut mengulas tahun ini bakal menjadi tahun pemulihan negara dan kerajaan Malaysia perlu merangka dan melaksanakan apa jua yang mampu memulihkan ekonomi negara.

“Kaedah yang terbaik sebagai permulaan pemulihan ekonomi negara sudah pasti tertumpu kepada kuasa membeli rakyat.

“Namun kesan bencana, pandemik, penutupan syarikat-syarikat, pembatalan projek dan peningkatan pengangguran sudah pasti mengurangkan kuasa membeli rakyat. Data telah menunjukkan bahawa Kategori isi rumah T20, M40 dan B40 telah berubah.

“Pinjaman atau skim pembiayaan sering dilihat sebagai salah satu inisiatif yang dapat membantu meningkatkan kuasa beli pengguna. Namun sedar atau tidak, ia sedikit sebanyak mempunyai risiko terutama jika gagal rakyat gagal menguruskan hutang,” jelasnya.

Katanya juga, 60 peratus rakyat di negara ini sukar mengurus hutang. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.