Lima Kecekapan Pelaksanaan Jadi Asas Penjawat Awam Pertingkat Perkhidmatan Di Melaka

MELAKA, 10 Jan – Lima kecekapan pelaksanaan perlu dijadikan asas dalam kalangan penjawat awam di Melaka bagi merealisasikan segala perancangan, inisiatif dan tugasan melibatkan sektor perkhidmatan awam supaya lebih inklusif, mempunyai nilai, kreatif serta inovatif.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata asas pertama ialah penjawat awam di negeri itu perlu memahami konsep ‘government of the day’ dan sentiasa menyokong serta melaksanakan semua dasar dan agenda pembangunan yang telah diputuskan kerajaan sedia ada bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat.

Beliau berkata penjawat awam juga perlu memegang teguh pada asas kedua iaitu memuktamadkan semua pelan tindakan jabatan dan agensi sepanjang tahun ini berpandukan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang selari dengan kerangka hala tuju ‘Melaka Rumahku’ dalam usaha mengajak semua rakyat berbilang bangsa di negeri dan negara ini bersama membina sebuah Keluarga Malaysia yang utuh, penyayang serta berbudi pekerti mulia.

“Jika pada tahun lepas saya telah isytiharkan sebagai ‘tahun pelaksanaan’, maka pada tahun ini pula saya umumkan sebagai ‘tahun kecekapan pelaksanaan’ dan amanat 2022 ini dipilih bertemakan ‘Kecekapan Pelaksanaan Demi Kemakmuran Negeri Melaka’.

“Kecekapan pelaksanaan ini meliputi aspek pemantauan misalnya program peningkatan sosioekonomi rakyat, pengurusan pandemik COVID-19, pengurusan bencana dan sebagainya diikuti aspek pemulihan ekonomi, dan pencapaian prestasi seperti petunjuk prestasi utama (KPI) serta sasaran kerangka kerja,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2022 Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Buku ‘Mewajah Melaka Menggamit Dunia’ yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Zaidi Johari.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata asas ketiga yang perlu diterapkan dalam kalangan penjawat awam ialah merealisasikan segala pelan serta inisiatif jangka pendek dan panjang sebagai garis panduan dan ia perlu ditambah baik dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian dan keperluan seperti Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035, Smart City, Pelan Pembangunan Data Raya (PPDR 2035) dan Transformasi Sejahtera 2035 demi kemakmuran Melaka.

Beliau berkata penjawat awam di negeri itu juga perlu memegang kukuh pada asas keempat iaitu memberi tumpuan kepada kecekapan pelaksanaan ‘manifesto lima tahun’ yang berteraskan ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ meliputi satu matlamat, lima teras dan 103 inisiatif dengan memastikan manifesto berkenaan ditepati dan semua janji yang ditawarkan dapat ditunaikan.

“Di bawah asas keempat ini juga, menerusi Bajet Negeri Melaka 2022, kita telah memperuntukkan RM100,000 setahun untuk setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan kerajaan berjumlah RM700,000 bagi memastikan manifesto yang telah dirancang dapat ditepati.

“Peruntukan yang diberikan itu kerana saya adalah ketua menteri kepada semua rakyat Melaka dan sebagai kerajaan negeri, kami bertanggungjawab untuk memberi keadilan sewajarnya kepada sesiapa sahaja yang layak dibantu dan berkeperluan,” katanya.

Beliau berkata amanat terakhir yang digariskan ialah penjawat awam perlu memberi fokus kepada kebajikan rakyat secara menyeluruh dengan memastikan segala inisiatif kepada rakyat disampaikan dengan kadar pantas, lancar, sistematik dan berkesan.

“Contohnya, kita teruskan inisiaitif Dana Kasih Niaga kepada 1,000 usahawan dan peniaga dengan peruntukan sebanyak RM1 juta sebagai insentif dan bantuan modal untuk golongan tersebut selain menyediakan latihan dan bantuan untuk memulakan urus niaga e-hailing serta meneruskan ‘Melaka Easy Shop’ sebagai platform dalam talian bagi memasarkan makanan, kraftangan serta produk secara percuma dengan implikasi kewangan berjumlah RM100,000,” katanya.

Terdahulu, Sulaiman berkata perkhidmatan awam di Melaka berada pada tahap terbaik apabila KPI Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri yang terdiri daripada pengurusan kewangan, tanah, pembangunan sosioekonomi dan pengurusan sumber manusia merekodkan pencapaian 98.6 peratus pada tahun lepas berbanding 97.22 peratus pada 2020. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.