Manfaatkan Tabung SEDA, Seru Najib Kepada Rakyat Terutama Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata Kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa beliau menjawat jawatan tersebut telah menubuhkan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) pada tahun 2011.

Kata bekas Menteri Kewangan itu, berhubung dengan itu, satu tabung bernama Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB) juga telah ditubuhkan dan dikawal SEDA.

“Sebahagian daripada kutipan bil elektrik setiap bulan bagi seluruh negara dimasukkan ke dalam tabung ini untuk digunakan bagi menggalakkan pembangunan tenaga lestari serta membantu setiap rumah tangga mengurangkan penggunaan elektrik.

“Berhubung dengan tabung ini, kerajaan menyediakan program SAVE 3.0 bagi setiap pemilik akaun elektrik domestik untuk menikmati baucer dan rebat sehingga RM400 bagi pembelian peralatan elektrik cekap tenaga berlabel empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

“Ini termasuk pembelian atas talian dan juga di kedai runcit,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook yang turut menyediakan pautan program tersebut: http://www.seda.gov.my/saveprogram/

Tambah Ahli Parlimen Pekan itu lagi, bagi mangsa banjir pula, baucer sehingga RM500 diberi bagi pembelian sebarang peralatan elektrik menerusi rangkaian atas talian dan runcit dalam senarai SEDA (pautan).

“Tabung SEDA ini sebenarnya adalah wang yang dikutip dari setiap pengguna elektrik dan disimpan sejak tabung ditubuh.

“Jadi, manfaatlah sepenuhnya hak kamu,” gesa Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.