Jangan Politikkan Bencana Banjir, Kutuk Sekerasnya Pihak Tangguk Air Keruh – Onn Hafiz

JOHOR BAHRU, 9 Jan – Exco Pelancongan Belia dan Sukan Negeri Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berharap agar tiada mana-mana pihak yang terus mempolitikkan bencana banjir terutamanya di negeri itu.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang turut mengutuk sekeras-kerasnya mana-mana pihak yang ingin menangguk di air yang keruh, mencuba untuk meruntuh dan menghakis integriti pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan tugas mereka.

“Semalam, saya telah mendengar kenyataan media YB (Yang Berhormat) Syed Saddiq, Ahli Parlimen Muar melalui akaun Facebook beliau.

“Isu yang telah dimainkan adalah mengenai laporan polis terhadap parti politik MUDA yang tidak mengikut prosedur penyelarasan dan keselamatan yang telah ditetapkan. Antara prosedur yang penting adalah pematuhan SOP (Prosedur Operasi Standard) bagi membendung penularan wabak COVID-19.

“Sebagai Exco yang bertanggungjawab terhadap portfolio belia di Johor, Kerajaan Negeri menghargai dan mengalu-alukan mana-mana pihak dan NGO (badan bukan kerajaan) yang ingin membantu mangsa-mangsa banjir di Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya lagi, mempelajari dari pengalaman di Selangor dan Pahang yang telah diuji dengan begitu hebat sekali dan daripada pengalaman negeri sebelum ini, Bangsa Johor secara keseluruhan sejak Disember tahun lepas telah cuba melaksanakan yang terbaik bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Johor.

“Daripada Kerabat Diraja Johor, Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri Johor, Pejabat Daerah, Agensi, Jabatan Kerajaan sehinggalah NGO dan persendirian menggembleng tenaga dalam menangani bencana banjir dan terus membantu rakyat Johor hingga ke hari ini. Antara agensi yang membantu secara langsung sejak berlakunya banjir di Johor adalah PDRM.

“Pada masa yang sama, saya ingin memanjatkan rasa syukur dan terima kasih kepada ribuan individu dan puluhan NGO yang sudah tampil kehadapan membantu memberikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Johor.

“Terima kasih juga kerana telah mengikuti prosedur dan membuat penyelarasan bersama pejabat-pejabat daerah,” kata Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam itu.

Namun begitu ulasnya, apabila terdapat laporan polis terhadap mana-mana pihak yang tidak mengikut prosedur, maka menjadi tanggungjawab pihak PDRM untuk membuka kertas siasatan.

’Nobody is above the law including YB Syed Saddiq and parti MUDA’.

“Saya yakin pihak PDRM tidak berniat untuk melayan mana-mana sukarelawan sebagai penjenayah. Ribuan sukarelawan yang sudah berkhidmat di Johor ini tidak menghadapi masalah.

“Saya sarankan supaya YB Syed Saddiq yang baru sahaja turun ke Johor semalam supaya berhenti mengkambing-hitamkan pihak PDRM,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE