Banjir: Terima Kasih Pemimpin UMNO Sentiasa Bersama Rakyat, Hulur Bantuan – Anuar Manap

SEKIJANG, 9 Jan – Bekas Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abd Manap melahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya Sukarelawan Bantuan Banjir Ibu Pejabat UMNO yang diketuai sendiri oleh Setiausaha Agungnya (SUA), Datuk Seri Ahmad Maslan.

Katanya, kedatangan SUA ini dapat memberikan sokongan moral kepada mangsa-mangsa banjir dan menjadi bukti bahawa UMNO sentiasa bersama rakyat khususnya dalam mengurangkan beban yang ditanggung bagi meneruskan kehidupan seterusnya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada SUA, Datuk Seri Ahmad Maslan dan sukarelawan kerana sudi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Sekijang dan sekurang-kurangnya bantuan yang diberikan dapat meringankan beban mereka,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menggesa agar pihak berwajib menyegerakan bantuan dalam membantu mangsa-mangsa banjir tanpa ada sikap pilih kasih atau mengambil kesempatan.

“Bantuan memang diterima oleh mangsa banjir tapi jangan pula ada pihak tertentu ‘pilih kasih’ serta meninggalkan golongan tertentu dan memilih hanya satu-satu pihak sahaja untuk kepentingan politik.

“Duit sumbangan yang diterima dari Kerajaan Pusat sebanyak RM1,000 dan Kerajaan Negeri Johor RM500. Ada yang sudah diterima dan ada yang belum diterima mangsa banjir serta bantuan yang lain.

“Mangsa banjir perlu berhubung dengan Ketua Kampung, Penghulu dan Pejabat Daerah untuk memastikan apa jua bantuan yang disediakan oleh kerajaan agar tidak terlepas,” katanya lagi kepada UMNO Online. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.