UMNO Sabah Terus Santuni Akar Umbi, Perkuatkan Parti – KP Sabah

KUALA LUMPUR, 8 Jan – UMNO Sabah terus menerus menyantuni akar umbi dalam usaha bukan sahaja memperkasa parti di pelbagai peringkat malah untuk sama-sama mendepani cabaran terutama pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain berkata usaha berkenaan yang disertai pimpinan UMNO negeri itu khususnya Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sudah pasti dapat memberi suntikan semangat selain dapat bersama akar umbi untuk sama-sama bergerak ke depan.

“Hari ini pula kepimpinan UMNO Sabah yang diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin menyantuni akar umbi UMNO Sabah bahagian Lahad Datu.

“Tentunya UMNO Negeri membawa mesej sehingga ke peringkat cawangan untuk membuat persediaan rapi bagi menghadapi PRU-15. Kita tidak tahu bila PRU tetapi persediaan itu penting,” katanya kepada UMNO-Online, di sini..

Tambah Aziz lagi, perlunya setiap peringkat untuk memperkukuh jentera selain meningkatkan lagi permuafakatan supaya dapat melahirkan satu ketumbukan yang kuat kelak.

“UMNO Negeri juga mengingatkan ahli-ahli pentingnya memperkukuhkan setiap jentera, menyatupadukan pendokong-pendokong parti sebagai satu ketumbukan padu yang kuat.

“Sesuai dengan pepatah bijaksana ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’. Ambil iktibar daripada pertelagahan yang berlaku dalam UMNO sebelum ini sehingga wujudnya serpihan-serpihan parti UMNO seperti PKR, PPBM dan Warisan.

“PRU-15 kita tidak ada pilihan lain selain menang. Itu sahaja pilihan yang kita ada untuk mengembalikan kestabilan negara demi mencapai kemakmuran seterusnya memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara dan terbela,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.