PRU-14 Dan Perjalanannya Sehingga Ke Hari Ini Beri Kesedaran, Kata Najib

KUALA LUMPUR, 8 Jan – Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan perjalanannya sehingga ke hari ini walaupun pahit tetapi ia memberikan kesedaran, ujar bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Ujar Ahli Parlimen Pekan itu, banyak janji manis yang ditabur oleh pelbagai pihak.

“Macam-macam ada. Yang kemudian mereka sendiri kata mustahil untuk dilaksanakan apabila kuasa di tangan.

“Akhirnya, dikecam rakyat dan disedari ramai,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Justeru, Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) percaya dan yakin semua pendukung parti harus menjadikannya sebagai satu rujukan.

“Agar kita kekal pada prinsip perjuangan kita. Apa yang kita janji, harus ditepati.

“Apa yang kita boleh bantu, harus dibuat sehabis baik,” katanya.

Najib juga berpesan kepada semua ahli, BN adalah parti politik yang datangnya daripada rakyat dan kembali juga kepada rakyat.

“Rakyat berikan kita amanah, tanggungjawab dan kepercayaan untuk memimpin.

“Rakyat meletakkan keyakinan pada kita kerana janji yang kita berikan dan kemampuan untuk menjayakannya,” katanya yang berharap semua ahli kekal bersama dalam perjuangan untuk pembangunan Malaysia.

Petang Semalam, Najib mengadakan pertemuan bersama kepimpinan dan ahli-ahli Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.