Rancangan Projek Perumahan Baharu Di Melaka Perlu Kajian Menyeluruh – Sulaiman

MELAKA, 6 Jan – Kerajaan Melaka mengarahkan sebarang rancangan projek perumahan baharu di negeri berkenaan perlu menjalankan kajian terperinci di kawasan pembangunan terutamanya berdekatan tanah paya atau lembangan sungai supaya tidak terdedah dengan risiko banjir.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata pemaju, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan juga perlu mengambil kira semua aspek secara menyeluruh seperti struktur geografi, sistem perparitan dan kolam takungan air.

“Ia bukan hanya di kawasan pembangunan yang dibina malah ia meliputi kawasan lain yang turut terlibat dengan pembinaan itu mesti diambil kira supaya tidak terdedah dengan risiko sama bagi mengelak pembeli dan penyewa berdepan masalah yang boleh merugikan mereka.

“Disebabkan cuaca tidak menentu, memperlihatkan jumlah taburan hujan diterima dahulu sekitar 60 hingga 70 mililiter (mm) tapi di Melaka baru-baru ini, hujan antara 170 hingga 200 mm. Jadi faktor ini juga perlu diambil kira,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Seri Negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata kerajaan negeri juga akan menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Banjir di setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN).

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan akan diselaraskan oleh pegawai daerah bagi memudahkan urusan menyampaikan bantuan di kawasan-kawasan yang terjejas banjir.

“Di samping itu, kerajaan negeri bersetuju untuk memberi pengecualian bayaran fi penggantian hak milik berkaitan tanah yang rosak akibat banjir, dengan pemohon perlu mengemukakan bukti terlibat dengan banjir sebelum pengecualian dapat diberikan,” katanya.

Katanya kerajaan negeri juga akan memohon bantuan daripada kerajaan Persekutuan bagi meringankan beban para petani dan penternak yang terjejas banjir dan anggaran kerugian yang dialami sektor berkenaan setakat ini ialah RM2.8 juta. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.