Banjir: Sukarelawan UMNO Turun Padang, Khidmat Terus Bersama Rakyat – Mohd Isam

GEMAS, 6 Jan – Keadaan banjir yang mula surut di beberapa negeri menjadikan gerak kerja dilaksanakan kepada fasa pembersihan yang tentunya lebih mencabar dengan keperluan tenaga dan sokongan kepada mangsa-mangsa terlibat amat bermakna.

Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa merakamkan ucapan terima kasih dan menghargai usaha yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat UMNO dengan diketuai sendiri Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan yang turun padang dalam Misi Sukarelawan Bantuan Banjir.

Katanya, kedatangan SUA ini dapat memberikan sokongan moral kepada mangsa-mangsa banjir dan menjadi bukti bahawa UMNO sentiasa bersama rakyat khususnya dalam mengurangkan beban yang ditanggung bagi meneruskan kehidupan seterusnya.

“Sesungguhnya kedatangan SUA dan rombongan amat saya hargai. Sudah pasti dengan kehadiran SUA dan sukarelawan UMNO amat menyentuh hati saya dan kami menganggap inilah nilai sebuah persahabatan yang berkekalan, iaitu bukan hanya politik.

“Saya di sini amat terkesan akibat bencana banjir dan UMNO Bahagian Tampin sedaya upaya untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh berkata, rakyat bersatu hati dalam menghadapi bencana dan sebagai wakil rakyat maka beliau sedia berkhidmat membantu mereka.

“Insya-Allah…  hari ini hari saya mungkin satu hari nanti hari orang lain dan kami dalam UMNO akan terus membantu. Saya tahu bagaimana hakikatnya keadaannya menjadi mangsa banjir,” ujarnya.

Terdahulu bencana banjir terburuk susulan hujan lebat yang  melanda Negeri Sembilan mengakibatkan beberapa paras sungai meningkat ke zon bahaya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.