Abang Jo, Barisan Kabinet Baharu Mampu Buat Sarawak Terus Cemerlang – PM

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan keyakinan bahawa kepimpinan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang dibantu barisan Kabinet baharu akan membuat Sarawak terus cemerlang.

Beliau turut berharap barisan Kabinet baharu terdiri daripada 10 menteri dan 26 menteri muda yang telah mengangkat sumpah secara maya Selasa lepas, dapat menabur lebih banyak jasa dan bakti kepada rakyat Sarawak.

“Saya ucapkan tahniah kepada barisan Kabinet yang baharu. Semoga dengan pemilihan baharu ini, barisan Kabinet yang diketuai oleh Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg dapat menabur lebih banyak jasa dan bakti kepada rakyat Sarawak,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook.

Majlis angkat sumpah barisan Kabinet baharu Sarawak dan menteri-menteri muda pada 4 Jan itu melakar sejarah tersendiri apabila berlangsung secara maya menyaksikan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud menerima pelantikan mereka di Astana Negeri dengan istiadat dijalankan secara fizikal di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Abang Johari, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gedong dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), telah mengangkat sumpah pada 18 Dis lepas setelah gabungan politik tempatan itu memenangi Pilihan Raya Negeri ke-12.

GPS, yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), telah memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertanding dalam pilihan raya itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.