UMNO Libaran Bantu Bina Semula Jambatan Roboh Dipukul Ombak

SANDAKAN, 5 Jan – UMNO Bahagian Libaran bersatu hati membina semula jambatan konkrit yang roboh di sebuah perkampungan atas air di sini akibat dipukul ombak kuat pada malam kedua tahun baharu.

Usaha itu bagi membantu kira-kira 120 penduduk di 10 rumah Kampung Tinusa 2 yang terputus hubungan apabila kira-kira sembilan meter jambatan konkrit di Lorong 3, Jambatan 6 kampung itu roboh dalam kejadian kira-kira 10 malam Ahad lepas.

Ketika ditemui Bernama, penduduk kampung berkenaan Osman Tiakok, yang juga Pemaju Mukim Sungai Sibuga berkata pada malam kejadian, beliau menerima panggilan daripada Ketua Pemuda UMNO Libaran Shariff Ismarhafiz Abd Rahman yang bertanyakan mengenai keadaan kampung itu.

“Saya telah memberitahunya (Shariff Ismarhafiz) mengenai jambatan roboh yang perlu segera dibaiki. Beliau maklumkan akan mengusahakan untuk mendapatkan dana bagi tujuan itu.

“Alhamdulillah, atas keprihatinan Ketua UMNO Bahagian Libaran Datuk Suhaimi Nasir, dana disalurkan keesokan pagi (3 Jan) untuk membeli peralatan membaik pulih jambatan itu dan Shariff Ismarhafiz bersama ahli Pemuda UMNO Cawangan Tinusa Jaya dan penduduk kampung turut serta bergotong-royong membaik pulih jambatan itu,” katanya.

Kejadian jambatan roboh itu disebabkan fenomena air pasang yang sering dialami Kampung Tinusa 2, terutama di kawasan Jambatan 5, 6 dan 7 yang berkedudukan hampir dengan laut terbuka.

“Penduduk di kawasan terjejas telah dipindahkan beberapa jam lebih awal sebelum air pasang mencecah ketinggian 2.5 meter iaitu aras waspada dan keadaan laut bergelora,” katanya sambil menambah penduduk berkenaan ditempatkan sementara di Masjid Asmaul Husna di kampung itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tinusa 2 Sahiba Ambotik berkata kejadian air pasang tidak asing di perkampungan atas air itu, namun susulan luruan monsun timur laut, fenomena itu lebih mengganas kali ini dengan pukulan ombak yang lebih kuat berbanding sebelum ini.

“Fenomena air pasang kali ini memang berbahaya kepada penduduk jika tidak dipindahkan, lebih-lebih lagi dengan cuaca hujan dan berangin memburukkan lagi keadaan.

“Jadi, kami tidak tunggu air naik sehingga melimpah ke jambatan, kami arahkan penduduk berpindah lebih awal dan balik semula ke rumah apabila air mulai surut yang biasanya mengambil masa beberapa jam kemudian,” katanya.

Sahiba berkata mereka turut mendapat kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah untuk menghantar bekalan makanan kepada penduduk yang ditempatkan sementara di Masjid Asmaul Husna.

Sementara itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sungai Sibuga Berahim Nasip berkata sejak monsun itu melanda pada November lepas, beberapa jambatan di kampung itu telah mengalami kerosakan, namun segera dibaiki dengan dana yang disumbangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga Mohamad Hamsan Awang Supain.

“Tindakan segera yang diambil terhadap jambatan roboh dan rosak di kampung ini ialah dengan membina jambatan kayu bagi memberi kemudahan kepada penduduk.

“Tetapi ini (jambatan kayu) hanya bersifat sementara dan akan dibina semula jambatan konkrit secepat mungkin,” katanya.

Fenomena air pasang itu, yang dianggap luar daripada kebiasaan kali ini, juga dialami di perkampungan atas air lain seperti Kampung Sim-Sim dan Kampung Bokara, namun fenomena itu berpotensi membahayakan penduduk di Kampung Tinusa 2 dan boleh menyebabkan kerosakan pada struktur rumah dan jambatan kerana kedudukannya yang terdedah kepada laut terbuka. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.