Tak Suka Lawatan Mengejut? Saya Bertanggungjawab Terhadap Amanah Yang Diberikan – Dr Akmal
KUALA LUMPUR, 4 Jan – Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Melaka Dr Muhamad Akmal Saleh berkata ada cerita yang didengarinya bahawa beliau agresif dalam melaksanakan tugas, suka buat lawatan-lawatan secara mengejut dan menyebabkan ada yang tidak berapa selesa dengannya.
Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu, beliau minta maaf jika ada pihak yang tidak mampu mengikut caranya, tetapi ia merupakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat dan ia mesti dilaksanakan sehabis baik.
“Dan saya tidak pernah minta layanan sebagai seorang Exco kerajaan negeri tetapi saya hanya minta tanggungjawab Exco itu perlu dilaksanakan sebaik mungkin.
“Tanggungjawab ini paling lama lima tahun dan itu sahaja masa yang saya ada buat ketika ini, mungkin anda telah selesa dengan cara yang lama yang penuh dengan birokrasi dan saya mohon maaf sekali lagi kerana mana-mana birokrasi yang menyusahkan rakyat akan saya hilangkan sebaik mungkin supaya rakyat mendapat manfaatnya,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Tambah Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Melaka itu lagi, beliau tidak ada kepentingan peribadi dan baginya adalah kepentingan rakyat untuk dipertahankan.
“Selagi mana saya dipertanggungjawabkan dengan amanah ini,selagi itulah saya akan menjalankan amanah ini dengan jiwa dan raga saya.
“Dan inilah diri saya sejak dari sebelum menjadi wakil rakyat sekalipun. Saya yang menjalankan tanggungjawab,” katanya dengan meninggalkan tanda pagar #YangBerkhidmat. – UMNO ONLINE