Kenyataan Ahli Parlimen PKR Mengelirukan, Krisis Berkembar COVID-19 Tinggalkan Kesan Besar Kepada Rakyat

PASIR GUDANG, 4 Jan – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Noor Azleen Ambros kesal dengan kenyataan terbaharu Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim, seperti yang dilaporkan di dalam sebuah portal hari ini.

Bidasnya, kenyataan Hassan dengan sengaja hanya sekadar untuk membangkitkan sentimen, tanpa sedikit pun rasa tanggungjawab untuk membincangkan secara sihat mengenai keperluan rakyat untuk diberi pilihan membuat pengeluaran simpanan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing, bagi berdepan dengan cabaran serta permasalahan semasa.

“Umum sedar bahawa apa yang berlaku kepada Kumpulan Wang Awam Persaraan (KWAP) telahpun melalui proses mahkamah serta diadili, dan kini berada di fasa terakhir proses undang-undang iaitu di Mahkamah Persekutuan.

“Konteksnya sangat jauh berbeza sekali dengan debat mengenai isu KWSP yang sedang hangat dibincangkan.

“KWAP melibatkan soal jenayah, manakala KWSP berkisar tentang kelangsungan hidup masa depan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya lagi, jelas sekali kenyataan Ahli Parlimen PKR itu hanya berniat untuk mengelirukan.

“Krisis berkembar (kesihatan dan ekonomi) akibat pandemik COVID-19 yang melanda sejak dua tahun kebelakangan meninggalkan banyak kesan dan impak kepada kehidupan rakyat terbanyak.

“Banyak kategori miskin baharu juga wujud akibat krisis berkembar berkenaan dan sebab itulah cadangan mengenai pengeluaran caruman KWSP ini menjadi salah satu pilihan.

“Maka, rakyat yang terkesan dan memerlukan seharusnya diberi pilihan andai terpaksa menggunakan tabungan persaraan mereka, semata-mata demi kelangsungan kehidupan mereka hari ini,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang itu juga menegaskan dan memperjelaskan bahawa tidak timbul cadangan UMNO agar pilihan tersebut diberikan kepada rakyat untuk seterusnya dipertimbangkan oleh kerajaan ini bertujuan untuk memusnahkan KWSP sebagai sebuah institusi.

“Lebih-lebih lagi KWSP sebagai sebuah institusi kewangan pastinya mempunyai kecairan (liquidity) kewangan yang cukup andai cadangan ini dilaksanakan.

“Walhal, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak menolak mengenai pilihan ini andai bantuan yang diberikan oleh kerajaan masih tidak mampu menanggung beban yang dihadapi oleh rakyat.

“Bukannya sengaja memainkan sentimen dan memilih untuk mengelirukan demi meraih simpati politik seperti wakil rakyat dari Pasir Gudang,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.