Tumpu Penyelesaian Jangka Panjang Atasi Banjir – PM

TEMERLOH, 1 Jan – Kerajaan memberi tumpuan kepada usaha mencari penyelesaian jangka panjang masalah banjir secara menyeluruh bagi mengurangkan risiko dan jumlah lokasi terjejas akibat bencana itu di masa depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata perkara itu menjadi agenda utama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat sebaik sahaja operasi pascabanjir selesai, dan ia melibatkan kerajaan negeri, kementerian dan agensi kerajaan serta pakar dalam bidang berkaitan khususnya dalam aspek pengairan dan saliran.

“Kita akan cari dan bincangkan apa sahaja modul yang sesuai digunakan untuk menyelesaikan masalah ini, dan jika ia tidak boleh dilaksanakan secara serentak di Malaysia, fokus akan diberikan di daerah atau kawasan berisiko tinggi banjir.

“Rancangan jangka panjang memerlukan kos yang besar tetapi ia membantu mengurangkan kos dikeluarkan kerajaan setiap kali banjir dan setakat ini, kita telah membelanjakan RM1.4 bilion untuk bantuan sahaja, dan jumlah ini dijangka bertambah kerana kita belum menerima laporan penuh kerosakan,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Misi Bantuan Banjir Keluarga Malaysia, yang merangkumi wang ihsan RM1,000 daripada kerajaan Persekutuan dan RM500 daripada kerajaan Pahang, serta barangan keperluan kepada 600 ketua isi rumah terjejas banjir di Dewan MPT Dataran Datuk Bahaman di Lanchang, Temerloh di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Ismail Sabri berkata rancangan penyelesaian jangka panjang itu pernah dibincangkan semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional, namun ia tidak diteruskan.

Menurutnya antara yang boleh dilakukan bagi mengurangkan masalah banjir ialah membina lebih banyak binaan tebatan banjir, mendalamkan sungai dan tali air seperti di Kedah serta membina terowong yang dilengkapi pengurusan banjir seperti Terowong SMART di ibu negara di kawasan bandar berisiko seperti di Shah Alam, Selangor.

“Bagi kawasan rendah yang kerap dilanda banjir, kita boleh lihat semula rancangan penempatan semula banjir yang pernah dilaksanakan sekitar tahun 1970-an. Ini perlu dibincangkan dengan kerajaan negeri untuk mengenal pasti kawasan tinggi yang sesuai manakala kerajaan Persekutuan boleh membantu dari segi peruntukan,” katanya.

Ismail Sabri berkata modul luar negara juga boleh dipertimbangkan jika sesuai dilaksanakan di Malaysia, seperti konsep ‘sponge city’ di China yang membantu memperlahankan aliran banjir atau ‘river dikes’ yang dilakukan di Belanda.

Sementara itu Perdana Menteri turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan serta orang persendirian yang bukan hanya menghulurkan bantuan semasa banjir, malah juga terus membantu dalam operasi pascabanjir.

Berhubung desakan sesetengah pihak supaya dibenarkan pengeluaran RM10,000 secara sekali bayar menerusi i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun sudah ada bantuan banjir diberikan mencecah RM10,000, Ismail Sabri berkata beliau hanya menjaga kepentingan rakyat.

“… yang tidak berpuas hati, mengecam akan terus berasa begitu di media sosial. Masing-masing ada tugas masing-masing. Saya harap kita semua tidak terkesan dengan serangan yang dibuat kerana kita menjalankan tanggungjawab… biarkan.. dan (ini) tidak akan menyekat saya daripada terus bekerja,” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.