Selamat Datang 2022, Selamat Tahun Baharu… Semoga Iltizam Baik Kita Ikhtiarkan – Khaled

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengajak semua mengambil kesempatan ambang tahun baharu ini untuk menanam azam agar 12 bulan mendatang adalah perjalanan terbaik hidup atau setidak-tidaknya, lebih baik daripada 12 bulan lepas.

Ini kerana katanya, tahun 2021 sekali lagi menjadi tahun yang mencabar buat semua.

“Pandemik kekal sebagai ancaman awam. Ekonomi masih merangkak. Politik gertak mengertak masih menjadi amalan sesetengah pihak. Malah, saat kita melabuhkan tirai hujung tahun, banjir besar datang menguji,” katanya dalam ucapan sempena menjelangnya tahun baharu menerusi laman facebooknya.

Katanya, ramai saudara kita di beberapa negeri ditimpa mimpi ngeri.

“Dalam segala cabaran dan ujian tersebut, sangat terserlah nilai kita sebagai sebuah masyarakat yang hidup bersosial, bergandingan dan diikat dengan nuansa kemanusiaan yang mengatasi segala ideologi politik atau pemahaman yang memecahbelahkan.

“Walau ada yang menjerit sakit, ada yang tersepit, kita sekali lagi bangkit. Semoga iltizam yang baik yang kita ikhtiarkan akan dipermudah dan membawa makna yang sarat dengan keberkatan, insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.