Khairy Tegaskan Sumbangan Kepada Kerajaan Mewakili UMNO, Demi Keselamatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa sumbangan beliau kepada kerajaan harus dilihat dari sudut bagaimana pelaksanaan tugas dilakukan kerana beliau menjadi menteri yang mewakili UMNO.

Oleh itu katanya yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau merangkap Ahli Parlimen terbabit memaklumkan bahawa beliau berusaha menjalankan tugas dengan baik dan itu sumbangan kepada rakyat mewakili parti iaitu UMNO.

“Jadi sumbangan saya kepada kerajaan harus dilihat dari sudut bagaimana saya melaksanakan tugas sebagai menteri kesihatan. Saya nak jadi menteri yang mewakili UMNO yang menjalankan tugas dengan baik dan itu sumbangan kepada parti,” katanya.

Ujarnya, pengurusan pandemik COVID-19 merupakan satu perkara yang cukup mencabar apatah lagi sering berdepan dengan pelbagai lontaran daripada rakyat pelbagai peringkat terhadap langkah-langkah yang diambil oleh kementerian dalam usaha menangani pandemik tersebut.

Tegas beliau, hasratnya dan juga hasrat kerajaan sudah tentu untuk memastikan pengurusan kesihatan berada pada tahap yang terbaik terutama menangani pandemik COVID-19 apatah lagi dengan kemunculan varian baharu Omicron di negara ini.

“Apa yang kita tahu adalah kebolehjangkitan Omicron lebih tinggi daripada Delta dan ianya tiga hingga enam kali lebih tinggi daripada Delta dari sudut jangkitan. Ianya boleh menjangkiti orang dengan lebih cepat dan pantas. Apa yang kita kurang pasti adalah dari segi keganasan Omicron sama ada ramai yang akan memasuki hospital, ramai yang akan menggunakan bantuan pernafasan itu kita belum dapat data yang jelas mengenainya.

“Namun apa yang saya tahu adalah sekiranya jangkitan kita meningkat maka jumlah yang akan masuk ke hospital juga akan meningkat. Itu yang kita nak elak dan tekanan kepada sistem kesihatan kita sehingga tidak ada katil lagi… sepertimana pada bulan Ogos yang lepas apabila dilihat gambar-gambar daripada hospital awam kita sehingga terpaksa berada di koridor dan sebagainya.

“Itu yang kita nak elak. Sebab itu kita telah melaksanakan beberapa sekatan baharu… disebabkan Omicron mungkin akan ada sekatan-sekatan lain yang akan saya umumkan sekiranya keadaannya bertambah buruk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara anjuran Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS) yang membicarakan soal ‘Dilema COVID & Politik’, di sini, malam tadi.

Program tersebut dihoskan Dr Mohd Fauzi Shafiee dan disiarkan secara live menerusi medium facebook rasmi UMNO Online menerusi pautan https://www.facebook.com/mediaumnomalaysia.

Khairy seterusnya menambah dari segi pengurusan pandemik antara perkara yang mungkin berjaya adalah vaksinasi, program ujian ‘COVID test’, program pengasingan dan sebagainya lagi dapat difahami serta dilaksanakan dengan baik oleh rakyat.

“Cuma mungkin kelemahan yang kita dapat dilihat di sini adalah kepercayaan dari segi Standard Operation Procedure (SOP), dari segi tuduhan dua darjat dan sebagainya. Ini menjadi tekanan keapda saya. Sebab itu contohnya pada waktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, saya nak tunjuk teladan yang baik.

“Sesiapa pun menyalahi SOP akan dikenakan kompaun termasuklah pemimpin UMNO sendiri. PKR kena, Bersatu kena, UMNO kena…semua salahkan sayalah tetapi saya katakan dalam hal ini kita kena tunjukkan bahawa tidak ada ‘double standard’. Sesiapa pun yang menyalahi SOP kena. Presiden kita pun kena juga terpaksa keluarkan kompaun kerana ziarah rumah ke rumah yang tidak dibenarkan…selepas itu tidak pakai pelitup muka…yang lain pun kena PKR pun kena, Bersatu pun kena.

“Jadi saya nampak itu adalah satu langkah di mana saya cuba yakinkan bahawa tidak ada ‘double standard’ tetapi masih ada yang tidak puas hati tidak mengapalah. Tugas saya adalah untuk memastikan bahawa kalau ada yang menyalahi SOP tindakan akan diambil,” tambahnya.

Kata beliau sememangnya rakyat melihat bahawa PRN bakal mencetuskan gelombang jangkitan yang baru disebabkan pada PRN Sabah yang mana pada waktu itu tidak ada vaksin dan juga pematuhan kepada SOP yang sangat longgar menyebabkan kes meningkat dengan mendadak selepas PRN di negeri tersebut.

“Jadi kita nak elak benda tersebut berlaku semula, Jadi saya terpaksa perketatkan SOP dan dalam memperketatkan SOP ada yang marah…ada yang kata ceramah tidak boleh, lawatan rumah ke rumah tidak boleh. Kenapa saya berbuat demikian pertamanya kalau ceramah mesti ada ‘crowed’…kita tidak boleh kawal… ceramah ‘crowed’ kita tidak boleh kawal. Tidak ada penjarakan, tidak akan pakai pelitup muka.

“Keduanya ziarah ke rumah. Biasanya kita ziarah ini kita akan jumpa dengan pesakit terlantar , orang tua dan ini yang berisiko tinggi kalau sekiranya mereka dijangkiti COVID. Jadi saya terpaksa tegas dan sesiapa yang langgar SOP kita ambil tindakan kompaun kepada mereka dan mereka kata ini membelakangi parti.

“Saya rasa tidak… saya melaksanakan tugas saya sebagai menteri kesihatan dan saya tahu kehadiran saya dalam jemaah menteri adalah wakil daripada UMNO. Saya mahu supaya apabila mereka melihat kepada menteri-menteri UMNO dalam jemaah menteri mereka akan rasa sekurang-kurangnya menteri UMNO ini menjalankan tugas dengan baik. Itu yang sepatutnya dinilai,” katanya.

Jelasnya lagi, jika dilihat pada PRN Melaka, ramai yang kata ia akan mencetuskan kluster tetapi setelah mungkin hampir dua bulan selepas PRN Melaka tidak ada kluster pun di negeri itu dan itulah keberhasilan dan ‘outcome’ yang kita mahu daripada Kementerian Kesihatan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.