Jadikan Banjir Bahan Politik Serang UMNO, Agenda Tidak Bertanggungjawab – Zahid

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyelar segelintir pihak yang sengaja menjadikan banjir bahan politik menyerang parti.

Katanya ini kerana dengan melakukan perbuatan tersebut kepada UMNO tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat dan negara.

“Apatah lagi terhadap mangsa banjir yang sedang ditimpa keperitan akibat kehidupan yang terjejas teruk bahkan realitinya UMNO sebagai sebuah parti telah menggerakkan seluruh jentera dan keupayaannya turun membantu.

“Meskipun dengan sumber yang terhad, UMNO berusaha sehabis baik untuk meringankan beban para mangsa.. para pimpinan dan ahli akar umbi dari peringkat Pusat, Wanita, Pemuda dan Puteri bergandingan bahu membantu tanpa mengenal penat lelah bukan sahaja atas kapasiti parti, lebih lagi atas dasar perikemanusiaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, sehingga kini ini jentera UMNO masih berada di lapangan bagi membantu mangsa banjir ini berdepan dengan ujian yang sangat getir dalam kehidupan mereka.

“Jentera parti menggunakan sepenuh kudrat dan daya upaya untuk menolong mangsa semasa banjir mahupun selepas banjir… menyumbang barangan keperluan, membantu perpindahan mangsa, mencuci kediaman, premis dan sebagainya.

“Seharusnya kita mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu dengan hati yang ikhlas dan murni. UMNO tidak akan sesekali melupakan rakyat dalam apa jua keadaan. Susah dan senang UMNO tetap bersama rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.