Gerak Kerja Dalam Kabinet Harus Jadi Penilaian, Jangan Mudah Buat Kesimpulan – Khairy

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menegaskan segala yang diputuskan oleh parti menerusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) iaitu tidak akan kerjasama dengan PPBM pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan terus dipegang selain keputusan untuk menyokong Perdana Menteri (PM) di dalam kerajaan sedia ada hari ini.

Menurut beliau yang juga Menteri Kesihatan, menteri-menteri daripada UMNO yang berada dalam kerajaan hari ini sudah tentulah mahu melaksanakan tugas dengan baik kerana ia adalah cerminan dari kepimpinan parti.

“Kita perlu mengimbangi hasrat berkenaan dan selagi belum sampai Pilihan Raya Umum ke-15, maka pelbagai perkara yang melibatkan pengurusan pandemik, pengurusan ekonomi dan sebagainya mesti dilaksanakan sebaiknya.

“Parti telah buat keputusan iaitu untuk tidak bersama dengan PPBM pada PRU akan datang dan itu usul dalam PAU, tetapi parti juga telah buat keputusan untuk menyokong Datuk Seri Ismail Sabri sebagai PM dalam kerajaan sedia ada… maksudnya kerajaan yang masih lagi ada Perikatan Nasional (PN).

“Jadi kami menteri daripada UMNO yang berada dalam jemaah menteri mesti mengimbangi antara semangat dan juga hasrat UMNO untuk tidak lagi bersama mereka pada PRU… jadi kita ikut keputusan parti, tetapi selagi kita belum sampai PRU-15 kita terpaksa ada satu dengan istilah mungkin ‘working relationship’… satu hubungan profesional antara parti-parti yang ada di dalam kerajaan ini untuk menjayakan pengurusan pandemik, pemulihan ekonomi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara anjuran Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS) yang membicarakan soal ‘Dilema COVID & Politik’ di sini, malam tadi. Program tersebut dihoskan Dr Mohd Fauzi Shafiee dan disiarkan secara langsung menerusi medium facebook rasmi UMNO Online menerusi pautan https://www.facebook.com/mediaumnomalaysia.

Khairy seterusnya menyangkal dakwaan-dakwaan negatif segelintir ahli parti yang antara lain menyifatkan menteri daripada UMNO adalah pengkhinat dan sebagainya.

“Itu yang boleh saya simpulkan kepada ahli-ahli UMNO yang mungkin rasa… oh kluster menteri ini mereka adalah pengkhianat…no… kita ikut apa yang PAU putuskan tetapi sewaktu kita berada dalam kerajaan pada waktu ini mengurus pandemik, mengurus ekonomi, kita mesti ada ‘working relationship’. Kita mesti ada hubungan profesional untuk menjayakan program pemulihan sebagaimana hari ini.

Jelasnya, beliau tidak pernah melaksanakan usaha membelakangi atau melemahkan UMNO sebaliknya mahu melaksanakan tugas dengan baik kerana ia akan mencerminkan pemimpin daripada UMNO yang mampu melaksanakan amanah.

“Setiap keputusan yang dibuat adalah bagi melindungi rakyat, selain mengelakkan berlaku kenaikan mendadak kes positif wabak COVID seperti yang berlaku selepas PRN Sabah tahun lepas. – UMNO Online

“Kadang-kadang kita rasa tersepit sebab kebetulan pula sekarang ini disebabkan kepimpinan parti tidak dicerminkan dalam kepimpinan kerajaan. Maksudnya kita dalam UMNO sebelum ini kita sinonim presiden adalah PM dan PM adalah presiden UMNO. Manakala sekarang ini tidak mencerminkan sepenuhnya.

“Datuk Seri Ismail Sabri adalah Naib Presiden dan saya sendiri bukan ahli MKT dan sebagainya. Jadi untuk sekarang ini saya nampak menjelang PAU walaupun ditangguhkan disebabkan banjir, Omicron dan sebagainya, saya harap dapat murnikan balik kepimpinan parti dan kepimpinan kerajaan.  Sebab akhirnya kita UMNO dan semuanya daripada UMNO dan kita mahu perkara yang sama iaitu kemenangan UMNO dan BN pada PRU akan datang,”ujarnya.

Ujar beliau lagi gerak kerja jemaah menteri daripada UMNO seharusnya dijadikan penilaian terbaik sebelum sebarang kesimpulan dibuat dan mengambil contoh bagaimana pada PRN Melaka, langkah Kementerian Kesihatan yang memperketatkan SOP dan sebagainya telah menghasilkan ‘outcome’ yang cukup baik apabila tidak berlakunya penyebaran atau pun kemunculan kluster PRN melaka.

“Kalau kita lihat di Melaka, ramai yang kata ini akan mencetuskan kluster tetapi setelah mungkin  hampir dua bulan selepas PRN Melaka tidak ada kluster pun di Melaka dan itulah keberhasilan dan ‘outcome’ yang kita mahu daripada Kementerian Kesihatan. Jadi sumbangan  saya kepada kerajaan harus dilihat dari sudut bagaimana saya melaksanakan tugas sebagai menteri kesihatan. Saya nak jadi menteri yang mewakili UMNO yang menjalankan tugas dengan baik dan itu sumbangan kepada parti.

“Saya tidak fikir langsung pun nak melemahkan UMNO. Saya hanya fikirkan dari segi kesihatan awam dan saya hanya fikirkan keselamatan calon, pengundi, jentera supaya mereka juga tidak dijangkiti dan akhirnya kaedah kempen yang baharu ini telah pun digunapakai dengan baik oleh semua pihak. Satu ketika kita umumkan ini menyekat, ini menyusahkan dan sebagainya tetapi akhirnya kempen media sosial menjadi sesuatu yang mudah untuk difahami dan mudah sampai mesej kepada rakyat.

“Ketiganya walaupun kempen rumah ke rumah tidak dibenarkan tetapi mereka masih pergi hantar risalah dan sebabaginya. Saya nampak tidak ada masalah pun untuk sampaikan mesej  kepada rakyat. Jadi ini lebih kepada bagaimana parti nak mengadaptasi kepada norma baharu dan kita lihat dapat adaptasi dan akhirnya BN tidak ada masalah pun mencapai kemenangan.

“Apa yang saya nak sampaikan biarlah menteri-menteri di dalan jemaah menteri daripada UMNO dilihat mentumbang ke arah kebaikan dalam parti. Jangan kita jadi bahan cemuhan,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.