Banjir: Sukarelawan UMNO Teruskan Khidmat Bakti Bersama Rakyat

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Sukarelawan UMNO dari pelbagai peringkat terus melaksanakan khidmat bakti dalam menyantuni rakyat bekitan bencana banjir yang melanda beberapa negeri dalam negara.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan semalam seramai 873 orang Sukarelawan Pergerakan Pemuda UMNO, Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dan Sukarelawan Skuad Sabil Malaysia digerakkan ke beberapa lokasi di Pahang terutamanya Bentong, Karak, Mentakab, Temerloh dan Paya Besar bagi meneruskan Misi Pembersihan dan Bantuan Pasca Banjir.

Maklumnya, beliau sendiri bersama Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan mengepalai kekuatan seramai 350 orang sukarelawan termasuk dari negeri-negeri lain.

“Sengaja kami memilih kawasan-kawasan yang tidak menjadi tumpuan NGO atau mana-mana pihak lain kerana lokasi ini sukar untuk dibersih kerana masih kurang atau tiada sambungan air paip.

“Sebagaimana yang diamanahkan juga, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyampaikan barang sumbangan yang berupa waterjet, dapur gas, cerek, toto, kelengkapan ibadah (kain pelikat, telekung, sejadah) serta barangan keperluan asas hasil sumbangan orang ramai kepada mangsa-mangsa banjir di Temerloh.

“Semoga Allah permudahkan urusan dan berikan kekuatan kepada mangsa-mangsa banjir ini,” katanya menerusi laman facebooknya.

Jelasnya, sukarelawan Skuad Sabil Pemuda UMNO dari negeri-negeri lain yang turut dimobilisasi untuk misi di Pahang termasuklah:

• Johor – 150 orang diketuai Ketua Pemuda UMNO Negeri Mohd Hairi Mad Shah fokus Sungai Lembing Paya Besar

• Kedah – 80 orang diketuai Ketua Pemuda UMNO Negeri Mohd Fadzil fokus di Karak.

• Terengganu – 60 orang diketuai oleh Ketua Pemuda Kuala Nerus Sdr. Hanafi fokus di Kg Gelogor Gambang Paya Besar dan Ustaz Hisham Johari di Kuala Triang, Kuala Krau & Kuantan

• Penang – 85 orang diketuai Ketua Pemuda Negeri Pulau Pinang Wandi Yaacob fokus di Batu Kapur dan Pejabat Pos Pekan Lanchang Mentakab

• Perak – 168 orang diketuai Ketua Pemuda Negeri Ariff Majid fokus di Mentakab Indah Temerloh. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.