Undi 18: UMNO Perlu Mendalami Idealisme Golongan Muda – Azuwan

KOTA BELUD, 29 Dis – Berikutan pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran secara automtik telah diwartakan, UMNO khususnya Pergerakan Pemuda perlu terus menyusuri dan mendalami idealisme anak-anak muda yang pelbagai supaya perjuangan parti terus mekar dan berupaya menempuh apa jua cabaran serta gelombang yang mendatang.

Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan Norjan berkata, undi 18 sudah tentu akan mengubah senario politik negara dan pelbagai langkah perlu disusun oleh parti supaya ia benar-benar memberikan pilihan terbaik untuk golongan ini

“Kita perlu mendalami idealisme anak muda yang pelbagai, ada antaranya yang pro kepada kerajaan sebahagiannya pro kepada pembangkang dan ada yang mengambil pendekatan di haluan tengah.

“Justeru kita perlu memahami minat mereka ini termasuk dalam program politik yang kita laksanakanya” katanya ketika ditemui selepas mewakili Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Fadli Juanas merasmikan penutupan Kejohanan Fustal Tertutup Piala Pengerusi Barisan Nasional Kota Belud di Padang Fustal kampung Siasai Jalan Tamu di sini, baru-baru ini,

Menurutnya, menerusi program politik yang dilaksanakan sekurang-kurangnya lima hingga enam program perlu berada di luar ‘kolam’ UMNO bagi membolehkan golongan muda ini dapat bersama dalam program-program yang dilaksanakan.

“UMNO khususnya Pemuda dan Puteri perlu menarik minat orang muda dalam setiap program yang dilaksanakan dengan tidak hanya tertumpu kepada program sukan, riadah atau hiburan tetapi ianya perlu diperluskan, antaranya masalah peluang pekerjaan,” katanya

Sehubungan dengan itu Azuwan yang juga Naib Presiden Majlis Belia Malaysia berkata Pemuda UMNO perlu membawa cadangan dasar parti dan kerajaan untuk merangka skim jaminan pekerjaan, sama ada dalam bidang pertanian, keusahawanan, dan lain-lain.
“Pemuda UMNO perlu memudahkan segala urusan mereka dalam mencari pekerjaan, memohon pembiayaan. Kita perlu menjadi pemudahcara dan kita perlu menjadi ‘point-person’ yang mereka hubungi untuk minta bantuan-bantuan ini,” tambah Azuwan.

Dalam pada itu beliau turut mencadangkan agar kerajaan membangunkan industri-industri baharu dengan membantu rakyat yang hari ini rata-rata terkesan dengan pandemik dan sebagainya.

Azuwan menambah apa yang paling mustahak adalah UMNO/BN perlu mengetahui pemikiran, cita rasa dan kehendak golongan muda dan parti juga perlu mendengar pandangan suara kumpulan pengundi tersebut.

“Kita tidak boleh membiarkan seolah-olah kita tidak mengambil apa-apa langkah dengan mengarahkan mereka melakukan itu dan ini (tetapi tidak mendengar suara dan kehendak mereka),” katanya lagi. – UMNO Online