Pastikan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia Dilaksana Secara Menyeluruh – PM

KUALA LUMPUR, 29 Dis – Kerajaan akan memastikan segala bantuan dan kemudahan kepada mangsa banjir dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dengan nilai keseluruhan RM1.4 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata di bawah inisiatif itu, kerajaan turut melaksanakan beberapa penambahbaikan berhubung Bantuan Wang Ihsan (BWI) antaranya RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas banjir.

Kerajaan turut menyalurkan kepada semua KIR terkesan termasuk mereka yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), RM10,000 kepada waris mangsa meninggal dunia, selain mangsa banjir boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini iaitu hanya sekali semasa berlaku Monsun Timur Laut.

“Menyedari mangsa banjir memerlukan wang tunai, kerajaan-kerajaan negeri telah membuat bayaran BWI yang bermula pada 27 Dis lepas dan dijangka selesai minggu ini. Bagaimanapun Selangor dan Pahang mungkin sedikit lewat berikutan melibatkan jumlah mangsa yang ramai.

“Bagi tujuan ini, saya mengarahkan pihak-pihak berkaitan agar mempermudahkan urusan pembayaran tanpa sebarang birokrasi atau tanpa perlu mengisi pelbagai borang seperti sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat ini, Ismail Sabri berkata lebih 30,000 KIR didaftarkan untuk menerima BWI.

Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyalurkan peruntukan awal BWI sebanyak RM34 juta kepada 11 negeri, manakala 25 waris telah menerima bantuan RM10,000 bagi bayaran BWI untuk kematian.

Beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi menggerakkan kerja-kerja pascabanjir, selain menambah RM50 juta lagi khusus untuk Selangor dan Pahang bagi tujuan sama dengan peruntukan itu akan digunakan bagi melaksanakan kerja pembaikan dan pembersihan rumah penduduk serta kemudahan awam rosak.

Menurut Perdana Menteri, pada masa ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama-sama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta kontraktor dilantik sedang giat menjalankan kerja pembersihan di kawasan terkesan bencana banjir.

Bagi mempercepatkan kerja-kerja mengutip, membersih dan menghantar sisa banjir ke tapak pelupusan, beliau berkata KPKT turut menambah sumber tenaga dengan melantik lebih banyak kontraktor untuk turun ke lapangan termasuk kawasan yang tidak dapat diakses sebelum ini.

“Dengan itu, kerajaan memperuntukkan RM10 juta tambahan antaranya bagi membiayai perkhidmatan kutipan sisa banjir serta kerja-kerja pembersihan jalan, fasiliti awam dan halaman rumah mangsa,” katanya.

Setakat semalam, Ismail Sabri berkata 3,000 tan sisa banjir telah dibersihkan di lima negeri yang terkesan iaitu Selangor, Pahang, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka melibatkan lebih 1,700 tenaga kerja di bawah seliaan KPKT.

Sementara itu, bagi menambah akses tunai kepada mangsa memerlukan, Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan dana keseluruhan RM100 juta menawarkan pembiayaan sehingga RM10,000 pada kadar kosong peratus dengan tempoh bayaran balik sehingga 3.5 tahun, termasuk moratorium bayaran balik selama enam bulan.

Bank Negara Malaysia dengan ketersediaan dana RM500 juta pula menyediakan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) melalui bank komersial iaitu sehingga RM500,000 kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan sehingga RM75,000 kepada usahawan mikro, dengan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun termasuk moratorium bayaran balik sehingga enam bulan dengan kadar pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun, katanya.

“Permohonan untuk pinjaman BSN dan dana DRF mula dibuka pada 27 Dis lepas. Untuk makluman, dalam dua hari pertama sahaja iaitu setakat 28 Dis, BSN menerima nilai permohonan sebanyak RM25 juta dan sudah pun meluluskan pinjaman bernilai RM10 juta,” katanya.

Bagi memastikan bantuan menyeluruh di samping bantuan tunai, Ismail Sabri berkata kerajaan akan menyediakan bantuan pembaikan rumah dan kenderaan peribadi serta bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.