Melaka Bentang Bajet 2022 Berjumlah RM507.92 Juta

MELAKA, 27 Dis – Kerajaan negeri Melaka membentangkan Bajet Melaka 2022 bertemakan “Stabil Melaka, Makmur Bersama” berjumlah RM507.92 juta, dengan anggaran Perbelanjaan Mengurus berjumlah RM427.92 juta iaitu bagi Maksud Tanggungan (RM10.48 juta) dan Maksud Bekalan (RM417.44 juta).

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata perbelanjaan pembangunan pula dianggarkan berjumlah RM80 juta dengan pecahan RM56.36 juta sebagai sumber hasil negeri, RM23.64 juta sebagai pemberian Geran Tahap oleh kerajaan Persekutuan dan token sebanyak RM20 adalah pindahan daripada Akaun Pinjaman Disatukan.

MELAKA 27 Disember — Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali menerima secara rasmi Buku Bajet 2022 Negeri Melaka yang disampaikan oleh Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Zaidi Johari pada Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 hari ini.

“Oleh itu, dalam merangka Bajet Melaka 2022, hasil kerajaan negeri dianggarkan berjumlah RM428.91 juta dengan pecahan, anggaran Hasil Cukai bernilai RM211.05 juta, Hasil Bukan Cukai berjumlah RM200.31 juta dan Terimaan Bukan Hasil bernilai RM17.55 juta,” katanya pada Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.

Sulaiman berkata kerajaan negeri terus berusaha untuk memulihkan prestasi kewangan, antara fokusnya ialah mengawal defisit semasa, mengurangkan hutang dan meningkatkan rizab, menyelaraskan semula perbelanjaan yang sepatutnya ditanggung kerajaan Persekutuan serta mengaktifkan penglibatan jalinan kerjasama di antara kerajaan dan pihak swasta.

Beliau berkata bagi perkara berkenaan, kerajaan negeri berjaya mencapai sekurang-kurangnya dua kejayaan iaitu rizab negeri ditingkatkan sebanyak RM15.970 juta setakat Disember, 2021 berbanding RM960,000 pada 2020 di bawah Kumpulan Wang Amanah Simpanan Negeri Melaka.

Katanya pencapaian hasil 2020 sebanyak RM392.88 juta iaitu 100.7 peratus melebihi sasaran RM390.22 juta, manakala pada 2021, hasil yang disasarkan adalah sebanyak RM445.96 juta.

“Sukacita saya maklumkan, berbanding 2020 yang walaupun dalam persekitaran pandemik COVID-19, terdapat peningkatan kutipan hasil sehingga 26 Dis 2021, kerajaan negeri telah mencapai kutipan hasil sebanyak 98.34 peratus iaitu bernilai RM438.57 juta.

“Bagaimanapun, berdasarkan kepada hasil-hasil yang belum direkodkan, dhasil kerajaan negeri bagi 2021 dijanghka akan melebihi sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Sulaiman berkata Bajet Melaka 2022 juga dibentangkan sebagai ‘serampang banyak mata’, antaranya dilaksanakan sebagai bajet pemulihan ekonomi pasca pandemik COVID-19, mula mengotakan sebahagian daripada janji-janji manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November lalu dan mengatasi masalah bencana banjir.

Selain itu, katanya ia juga bagi memastikan kestabilan kerajaan, merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pelancongan, sektor sosial, peluang-peluang pekerjaan, memperhebatkan inisiatif kebajikan rakyat demi kesejahteraan semua masyarakat yang limpahan kemakmurannya mampu dikecapi bersama.

Beliau berkata bajet inklusif berkenaan akan menggabung dan menyusun semula inisiatif-inisiatif sedia ada serta baharu, yang akan dilaksanakan dengan menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kemampanan Ekonomi dan Kecekapan Tadbir Urus.

Katanya Kesejahteraan Rakyat akan mempunyai tiga strategi dan 17 inisiatif, Kemampanan Ekonomi (enam strategi, 17 inisiatif) dan Kecekapan Tadbir Urus (satu strategi dan dua inisiatif).

Sempena pembentangan Belanjawan itu juga, Sulaiman juga mengumumkan bantuan ‘one-off’ diberikan melalui pembukaan akaun SSPN-i bernilai RM150 kepada bayi yang lahir di Melaka pada hari ini.

Bantuan Khas Kewangan sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada 5,087 penjawat awam negeri Melaka yang akan dibayar seawal Januari dan April tahun depan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.