Keprihatinan UMNO Konsisten, Teruskan Khidmat Bakti Bantu Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR, 27 Dis – Pasca bencana banjir yang melanda hingga minggu kedua ini terus mendapat keprihatinan pimpinan UMNO termasuk akar umbi dalam menyalurkan khidmat bakti dengan membantu mereka yang terkesan.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim bersama Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkunjung ke Padang Jawa memberikan 1,000 pek makanan asas dan nasi berlauk kepada mangsa banjir.

Beliau juga dalam pada masa yang sama merakamkan ucapan penghargaan kepada food rider yang membantu dalam memberikan makanan tersebut kepada golongan yang terjejas sekaligus dapat memberi kegembiraan kepada mereka ketika menghadapi musibah ini.

Seterusnya, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan merangkap Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO ke Pahang bersama-sama Pemuda UMNO Temerloh dan Bentong meneruskan kerja-kerja pembersihan di kedua-dua kawasan tersebut.

Beliau menerusi hantaran di Facebook menyifatkan musibah kali ini luar biasa buat penduduk malah turut mendoakan mereka diberi kekuatan melalui ujian dan dipermudahkan untuk membina semula kehidupan.

Begitu juga dengan Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad yang meneruskan misi kebajikan ke Simpang Pertang, Jelebu di Negeri Sembilan untuk menyerahkan keperluan makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Sebelum itu Menteri Pengajian Tinggi itu juga ke Pengkalan Batu dan Ayer Limau di Melaka untuk menyerahkan bantuan kepada mangsa yang terjejas.

“Kami juga turut menyertai pasukan sukarelawan di Masjid Tanah untuk menyelaraskan bantuan yang akan dihantar ke kawasan-kawasan yang terlibat dengan banjir di Melaka. Doa saya sentiasa mengiringi mereka yang terkesan agar sentiasa berada dalam keadaan sihat dan selamat,” katanya.

Prihatin dengan perkembangan semasa, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersama 95 orang Sukarelawan Pemuda UMNO Malaysia dan Skuad Sabil Selangor turun untuk bersama dengan Pemuda UMNO Sepang bagi misi bantuan pembersihan RTB Kg Bukit Changgang

Pasukannya membersihkan kawasan dalam dan luar rumah mangsa banjir, Suhana yang sebelum ini viral menerusi applikasi Tiktok memohon bantuan pembersihan.

Mereka turut sama melakukan operasi pencucian di 10 lagi buah rumah di kawasan jiran tetangga Suhana.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Sayu perasaan melihat riak wajah penduduk di kawasan Kg Bukit Changgang ini kerana boleh dikatakan hampir seratus peratus harta benda mereka musnah akibat air banjir berselut yang menenggelamkan keluruhan rumah mereka,” ujar beliau.

Tidak ketinggalan, sayap bongsu parti bersama Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan ke Klang bagi menyampaikan bantuan bekalan makanan kepada mangsa terlibat.

Sumbangan bekalan makanan kepada mangsa terlibat ini disifatkan beliau diberikan bagi mengurangkan bebanan mereka yang berdepan dengan bencana alam ini .

“Didoakan semua dilindungi dan tiada lagi banjir selepas ini,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.