Banjir: Bantuan Kerajaan Ringankan Beban… Tapi One-Off I-Citra Mampu Pulih Ekonomi – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 27 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia melahirkan penghargaan kepada kerajaan atas segala inisiatif bantuan untuk golongan terjejas bagi isi rumah mangsa banjir.

Pengarah Komunikasi, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata meskipun bantuan tersebut dapat meringankan bebanan namun ianya tidak dapat menampung jumlah kerugian yang dialami mangsa-mangsa banjir berkenaan.

“Kami menyambut baik peruntukan RM10 juta yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi tujuan membantu dan pemulihan banjir besar yang sedang berlaku di beberapa negeri Malaysia.

“Terima kasih juga atas segala inisiatif bantuan untuk golongan terjejas seperti bantuan kewangan RM1,000 untuk isi rumah mangsa banjir dan sebagainya.

“Namun, RM1,000 itu sudah tentu tidak dapat menampung kos untuk mendapatkan barangan rumah yang total lost akibat banjir, apatah lagi membaikpulih kenderaan mereka yang dianggar melebihi RM4,000,” katanya menerusi satu kenyataan.

Melihat kepada situasi itu beliau berkata Pemuda UMNO berbesar hati untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya mempertimbangkan semula kebenaran untuk mengeluarkan tabungan RM10,000 secara one-off i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tersebut.

“Kami menggesa agar Perdana Menteri tidak mendengar pandangan Tengku Zafrul semata-mata tapi turut sama menyelami dan mendengar rintihan hati rakyat yang realitinya terdesak mahu meneruskan survival hidup mereka bersama keluarga.

“Dengan pengeluaran caruman KWSP terakhir ini, kami yakin rakyat yang terjejas merancang dan memulihkan kenderaan mereka untuk bekerja, menyediakan barangan peralatan keluarga serta membina kembali asas ekonomi mereka dengan baik.

“Gesaan ini bukanlah bersifat populis sebagaimana didakwa segelintir pihak, namun ianya tercetus atas sifat realistik dan tradisi UMNO yang mendahulukan kepentingan rakyat melebihi kepentingan politik, serta rasional kos sara hidup yang melambung baru-baru ini,” katanya.

Tegas Ketua Penerangan Pemuda Negeri Kedah itu lagi beliau memahami kewujudan KWSP ditubuhkan sebagai tabungan hari tua khususnya bagi pekerja swasta di seluruh negara namun Kementerian Kewangan juga diminta untuk memahami kesengsaraan ekonomi rakyat belum pulih akibat pandemik COVID-19 dan kesan lain.

“Termasuk seperti fasa Perintah Kawalan Pergerakan separuh masak yang terpaksa dihadapi sebelum ini. Antara natijah yang buruknya, dilaporkan seramai 21,000 pelajar terpaksa berhenti sekolah atas faktor ekonomi keluarga, manakala dianggarkan puluhan ribu lagi yang hilang pekerjaan dan terpaksa bertatih membina ekonomi keluarga mereka sendiri.

“Sedang mereka berusaha membina kehidupan kembali, tiba-tiba banjir besar melanda dan meruntuhkan sekali lagi ekonomi keluarga mereka yang sedang dibina,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.