Banjir Akibatkan ‘Total Lost’… Wajar Pertimbang RM5,000 Untuk Mangsa – Sharkar

TEMERLOH, 27 Dis – Musibah banjir yang berlaku kali ini termasuk di Temerloh khususnya telah menyebabkan penduduk serta mereka yang tinggal berdekatan sungai berdepan kerosakan ‘total lost’.

Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Temerloh, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata ini kerana arus air terlalu deras dan cepat naik sehingga mangsa tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka.

Menurut beliau yang juga Ketua UMNO bahagian Temerloh, ekoran musibah itu ia menyukarkan mereka untuk bangkit semula kerana belum pun berakhir kemelut ekonomi kesan penularan COVID-19, kini diuji pula dengan banjir.

“Saya berpandangan, adalah wajar Kerajaan Pusat dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertimbangkan bantuan khas RM5,000 buat setiap keluarga yang terjejas ekoran banjir kali ini.

“Ini kerana, rata-rata mangsa merupakan golongan berpendapatan rendah dan memerlukan bantuan kerajaan bagi memulihkann kembali kehidupan mereka.Dengan RM5,000 itu nanti, membolehkan mereka membeli peralatan rumah yang rosak seperi periuk nasi elektrik, televisyen, mesin basuh dan juga peti ais,” katanya kepada UMNO-Online.

Sharkar seterusnya percaya mangsa terlibat akan berhemah dalam perbelanjaan wang berkenaan demi memulihkan kehidupan mereka dan apa yang penting kerajaan perlu segera membantu rakyat untuk bangkit semula.

“Tangguhkan sementara projek-projek mega yang ingin dilaksanakan seperti projek 5G dan beri tumpuan penuh kepada membantu rakyat yang terjejas teruk ekoran musibah banjir kali ini.

“Saya percaya, dengan bantuan RM5,000 itu akan memberikan senyuman kepada mangsa terlibat kerana ia begitu diperlukan mereka untuk kembali bangkit,” ujarnya-UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.