Banjir Bukan Masa Berpolitik, Terharu Lihat Semangat Keluarga Malaysia – Sharkar

TEMERLOH, 26 Dis – Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Temerloh, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin melahirkan rasa sebak dan terharu melihat semangat serta kerjasama Keluarga Malaysia dalam usaha membantu mangsa banjir dan bersatu di bawah semangat slogan ‘rakyat jaga rakyat’.

Menurut beliau semangat tersebut yang dapat dilihat di seluruh negara termasuklah di Pahang serta Temerloh sendiri memperlihatkan tidak ada perbezaan warna kulit, agama ataupun kaum, sebaliknya memaparkan semangat Malaysia sejati ketika berdepan situasi bencana  yang menjadikan ianya satu keluarga besar Malaysia.

“Sebagai Penyelaras BN Parlimen Temerloh, saya mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk datang membantu mangsa banjir yang terjejas teruk di daerah ini. Ini bukan masa untuk kita berpolitik, ini masa untuk kita sebagai Keluarga Malaysia bersatu hati membantu rakyat yang terjejas akibat musibah banjir.

“Kawasan di landa banjir khususnya di Temerloh kini telah memasuki tempoh pasca banjir selepas air telah surut dan setiap mangsa terlibat telah pulang ke rumah bagi membersih dan membuang segala harta benda yang rosak.

“Temerloh antara daerah terburuk di negeri Pahang yang dilanda banjir dengan lebih 3,500 buah rumah terlibat dan yang paling teruk menerima kesannya di Lanchang, Mentakab dan juga Kuala Semantan,” katanya kepada UMNO-Online.

Tambah Sharkar lagi, di Temerloh, ramai rakyat Malaysia turun padang, malah ada yang datang sendirian tanpa mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak berkuasa untuk menghulurkan bantuan segera kepada mangsa banjir di daerah ini.

Malah kata Sharkar lagi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah juga berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa-mangsa banjir.

“Turut sama berkenan mencemar duli Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Perdana Menteri, Menteri Besar Pahang, Menteri Kabinet turut turun padang yang mana tujuan hanya satu iaitu menyantuni dan membantu mangsa yang terjejas akibat musibah banjir kali ini. Ini termasuk juga pimpinan UMNO dan BN,” ujarnya.

Pada masa yang sama Sharkar turut memohon maaf kepada rakyat khususnya di Temerloh jika ada kekurangan atau kelewatan daripada segi bantuan sama ada ketika banjir atau pasca banjir.

“Kita hanya mampu merancang dan Allah SWT menentukan segalanya. Begitulah juga musibah banjir yang berlaku kali ini. Ini bukan masa untuk kita menyalahkan mana-mana pihak. Sebagai keluarga besar Malaysia, marilah kita terus berganding bahu membantu sesama kita dan ia telahpun dibuktikan oleh rakyat dalam musibah banjir kali ini.

“Semangat sukarelawan dalam kalangan rakyat Malaysia menunjukkan keunikan masyarakat di negara ini. Walau apa saja keadaan, semangat sukarelawan rakyat tiada batas, hati mereka sangat lembut dan mempunyai keprihatinan tinggi.

“Sekali lagi saya mohon maaf jika ada kekurangan dan insya-Allah kita akan melakukan yang terbaik bagi membantu rakyat yang terjejas banjir di Temerloh,” tambahnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.