Pemuda UMNO, Skuad Sabil Bersihkan Masjid… Imam Luah Penghargaan

KUALA LUMPUR, 24 Dis – “Baru sahaja malam tadi saya berdoa agar hadirkanlah sesiapa sahaja yang boleh membantu membersihkan masjid ni. Hari ini takdir Allah, Pemuda UMNO dan Skuad Sabil turun bantu, jika tidak dua Jumaat pun belum tentu dapat solat lagi.”

Demikian luahan Mohamad Razi, Imam Masjid Kampung Bukit Piatu di Bentong kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang meluahkan ucapan penghargaan terhadap kerja keras yang dilakukan oleh pasukannya.

“Alhamdulillah, inilah antara perancangan Allah yang kita tidak duga. Kelmarin saya hanya bertanya khabar kepada Ketua Pemuda saya di Bentong mengenai keperluan yang Pemuda UMNO Pusat boleh bantu. Beliau hanya menyebut kelengkapan seperti toto, selimut, air minuman dan alat penjagaan diri untuk mangsa banjir serta kalau boleh sukarelawan Skuad Sabil untuk bantu mencuci.

“Semalam seawal 8.30 kami seramai 40 orang daripada Pemuda UMNO dan Skuad Sabil Wilayah Persekutuan dan Melaka bergerak ke Bentong. Setelah menyerahkan peralatan keperluan yang diminta di beberapa Pusat Pemindahan Banjir, kami memulakan operasi membersihkan Masjid Bukit Piati di bawah Dewan Undangan Negeri Ketari, Bentong.

“Alhamdulillah selesai operasi selepas hampir empat jam kerana tekanan air yang rendah dan lumpur yang agak tebal. Tapi mujurlah belum terlalu keras. Namun banyak peralatan masjid yang rosak teruk,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Asyraf juga turut menyarankan bagi sukarelawan yang hendak membantu untuk mengutamakan tempat-tempat awam seperti masjid memandangkan penduduk setempat semestinya sibuk membersihkan rumah masing-masing.

“Hari ini (semalam) sahaja lebih kurang 11 pasukan Pemuda daripada pelbagai negeri termasuk Perak, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan yang digerakkan untuk membantu kawasan-kawasan yang teruk terjejas dengan musibah banjir.

“Ayuh! Kita sama-sama sumbangkan tenaga dan apa jua kemampuan yang ada termasuk kewangan tatkala saudara kita sedang ditimpa kesusahan.

“Usah persoalkan orang lain yang sedang menyumbang, persoalkan apa yang kita boleh buat untuk turut menyumbang,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.