KWP Salur Bantuan Banjir Di Luar Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) turut menyumbang tenaga membantu mangsa banjir di luar Wilayah Persekutuan yang secara tidak langsung membantu memastikan pengurusan banjir di Kuala Lumpur berada dalam keadaan baik.

Menterinya Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dalam kenyataan berkata operasi bantuan KWP melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di luar Wilayah Persekutuan bermula 19 Dis, manakala bantuan melalui Perbadanan Putrajaya (PPj) di kawasan terjejas adalah pada 18 Dis.

“DBKL telah menghantar bantuan di kawasan Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 Shah Alam pada 19 Dis dan Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam pada 20 Dis,” katanya, mengulas dakwaan di laman sosial yang kementerian itu melalui agensinya hanya bertindak menghulurkan bantuan selepas empat hari kejadian banjir di Selangor.

Shahidan berkata Kuala Lumpur turut berdepan masalah banjir buruk dan tanah runtuh akibat hujan lebat berterusan dengan DBKL terlibat dalam operasi membantu, menyelamat dan membersih kawasan yang terkesan bencana itu di ibu kota.

Sementara itu, beliau berkata sejak 19 Dis lepas sehingga kini, DBKL telah mengerahkan 121 anggota daripada Jabatan Penguatkuasaan DBKL serta jabatan dalaman agensi itu.

DBKL turut menyediakan satu unit rescue tender, unit bot penyelamat, trak pikap, dua lori, lima van, dua kereta jenis X70, satu kereta jenis Preve, treler dan tiga lori jenis ‘terbuka’ di kawasan terbabit, serta enam tandas bergerak dan satu tangki air.

Antara tindakan dan bantuan yang disalurkan adalah menyelamatkan 57 mangsa terkandas di kawasan banjir dan memindahkan mereka di kawasan selamat, selain anggota penyelamat DBKL membantu mengagihkan makanan kepada mangsa hasil sumbangan syarikat KK Mart dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), katanya.

Selain itu, PPj menggerakkan satu bot utiliti di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat dan tiga unit ‘Sailing Optimis’ bagi penghantaran makanan di Taman Baiduri, Dengkil sejak 18 Dis, manakala misi membantu mangsa banjir di sekitar mukim Labu, Dengkil dan Kampung Olak Lampik di Hulu Langat pada 20 Dis.

“Semalam, bantuan diteruskan lagi dengan PPj menggerakkan 50 anggota dan sukarelawan bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta bantuan ke Kampung Labu Lanjut, Sepang, yang bermula hari ini.

“PPj juga menyediakan dua lori, dua lori tangki, 15 kenderaan pacuan empat roda, sebuah jentolak, peralatan pembersihan seperti 15 unit penyembur air, tiga unit pam air, satu set generator dan empat tong sampah roro bagi tujuan tersebut,” katanya.

Menurut Shahidan, kerja tertumpu kepada pembersihan kemudahan awam seperti surau An Nur Desa RTB, masjid, balai raya mini serta taman permainan kanak-kanak di taman sekitar Kampung Baru Lanjut iaitu Taman Dataran Abadi, Kampung Baru Lanjut, Taman Salak Pekerti, Taman Salak Budi, Taman Indah Puteri, Taman Salak Kasturi, Taman Intan Baiduri, Perumahan Haji Malik dan Taman Salak Lestari.

Misi bantuan di Sepang turut dibantu pelbagai agensi antaranya Pejabat Daerah dan Tanah Sepang, Majlis Perbandaran Sepang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Shahidan berkata KWP melalui agensinya sentiasa komited menghulurkan tenaga dan sumbangan dari semasa ke semasa meskipun negeri berkenaan bukan di bawah tanggungjawab kementerian itu, selain KWP juga melakukan pemantauan berkala di kawasan yang keadaan banjir semakin baik serta pengedaran bakul makanan terus diberikan kepada penduduk terjejas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.