Banjir: MB Selangor Perlu Ketepikan Sentimen Politik, Fokus Bantu Rakyat – Noh

PUTRAJAYA, 22 Dis – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar berharap fokus untuk membantu rakyat yang menghadapi bencana banjir diberikan perhatian sewajarnya berbanding memainkan sentimen politik.

Katanya ini ekoran kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang seolah-olah menyalahkan beliau dengan insiden banjir buruk yang terjadi di negeri itu.

“Ada yang cuba hendak mainkan politik… saya tengok viral sebab Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor ini adalah saya.

“Jangan main politik tapi bila Amirudin cuba tuding jari kepada saya sebagai punca seolah-olah yang menjadi kelam-kabut ini adalah kerana Noh Omar ini merupakan pemimpin UMNO.

“UMNO pula pada 18 Dis lalu mengadakan mesyuarat bahagian-bahagian padahal ini bukan ada kena mengena dengan saya… padahal Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri ini adalah beliau kerana ianya di bawah kerajaan negeri yang merupakan luar daripada bidang kuasa saya,” katanya ketika sidang media khas di Pejabat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, di sini hari ini.

Jelas beliau, ini kerana jawankuasa kerja keselamatan di bawah beliau adalah menyelaras arahan gerakan keselamatan dan gerakan ketenteraman awam di peringkat negeri.

Katanya, tanggungjawab mengendalikan dasar, strategi, arahan termasuk pelan tindakan dan hala tuju dalam mengendalikan sesuatu bencana peringkat negeri adalah di bawah Amirudin yang bertindak sebagai pengerusi.

“Bencana ini adalah tanggungjawab kerajaan negeri, Amirudin kena faham lagipun Jabatan Meteorologi sudah maklumkan perkara ini… dalam mesyuarat pun saya sudah tanya apa tindakan namun alasan dia bagi sebab dia bukan Pengerusi MKN.

“Dalam keadaan sekarang jangan salahkan orang lain… beliau sudah minta maaf sebab salah buat kenyataan. Saya sudah maafkan tetapi terpaksa untuk buat sidang media ini untuk betulkan hasil kenyataan beliau,” tegas beliau.

Noh menjelaskan, sekiranya Amirudin memahami bidang tugasnya tidak akan timbul cakap-cakap kononnya tidak boleh mempengerusikan mesyuarat seperti yang didakwa.- UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.