Banjir: Jangan Tuding Jari, Berlapang Dada Fokus Bantu Mangsa

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyeru semua pihak untuk berlapang dada dengan ujian melanda khususnya bencana banjir yang berlaku ketika ini.

Katanya, perkara yang lebih penting adalah semua pihak yang berkemampuan mengambil peranan masing-masing bagi memastikan golongan terjejas ini dibantu dengan sebaiknya.

“Yang penting jangan banyak menuding jari tapi terus turun dan buat… realitinya terlalu ramai mangsa yang terjejas dan hakikatnya tiada siapa boleh dakwa mereka sahaja yang mampu membantu semua.

“Ingatlah pesan Nabi SAW bagi yang sentiasa membantu meringankan beban saudaranya dalam Hadis berikut:
‎وَاَللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ
: Allah sentiasa menolong hamba-Nya yang mana hamba-Nya itu sentiasa menolong saudaranya yang lain,” katanya di hantaran Facebook sambil memetik riwayat Muslim.

Jelas beliau lagi, lebih bermanfaat menjalankan kerja-kerja turun padang membantu rakyat berbanding hanya menjadi keyboard warrior sekurang-kurangnya membantu operasi mencuci dan membersihkan rumah-rumah mangsa banjir.

“Bagi yang ada sedikit kelebihan kewangan boleh menyumbang dalam pelbagai bentuk termasuk peralatan asas seperti tilam, bantal, selimut, peralatan dapur, air mineral, makanan asas dan lain-lain,” ujar beliau.

Terdahulu, Asyraf juga turut menyeru pihak yang prihatin untuk menyumbang barangan keperluan harian bagi meringankan beban mangsa bencana ini.

“Bagi yang nak membantu amat dialu-alukan. Lebih ramai yang membantu termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan lebih bermakna dan berkesan,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.