UMNO Usaha Tidak Biar Mangsa Banjir Kena Jangkitan COVID, Kelaparan – Nasarruddin
KLANG, 21 Dis – Pasca banjir ini lebih banyak tenaga yang diperlukan untuk diselesaikan dan mohon pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) harus bergerak lebih pantas.
Demikian tegasnya Ketua UMNO Bahagian Klang, Datuk Nasarruddin M. Zin yang berharap pihak KKM dapat menghantar pasukan perubatan di tempat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi memantau kesihatan dan JKM dapat memberikan sumbangan keperluan kepada mangsa banjir.
“Ini musim COVID-19 pihak berwajib harus datang melakukan swab test dan kita sendiri buat penjarakan sosial. Pihak KKM harus menyediakan ‘chemical’ serta memberikan pengasingan tempat tidur dan sekarang ini mangsa banjir tidur bercampur-campur, jikalau ada seseorang mengalami COVID-19 maka sudah pasti akan mendapat masalah besar.
“Jikalau pihak JKM dapat menyelesaikan urusan tersebut maka segala permasalahan dapat diselesaikan dengan segera terutama sekali makanan mangsa banjir. Jangan membiarkan mangsa banjir ini lapar disebabkan mereka tiada punca untuk mencari makanan di tempat lain,” katanya kepada UMNO Online, di Pangsapuri Samudera Pulau Indah malam tadi.
Dalam pada itu beliau menghargai jasa baik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyantuni serta memberikan sumbangan kepada mangsa banjir di Klang.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang diwakili Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menziarah dan memberikan sumbangan. UMNO Bahagian Klang mengalu-alukan kehadiran pemimpin di Parlimen Klang,” katanya lagi.
Justeru tambah beliau telah mengarahkan seluruh kepimpinan UMNO Bahagian Klang dan jentera-jentera UMNO segera membantu dan memberikan khidmat yang terbaik bagi mangsa banjir.
“Semenjak hari pertama kejadian berlaku bencana banjir di Klang ini kepimpinan UMNO Bahagian dan seluruh jentera parti telah turun ‘full force’. Alhamdulillah… UMNO Bahagian Klang dapat menaruh khidmat bakti yang terbaik pada masyarakat dan memperlihatkan bahawa UMNO Bahagian Klang yang beri peranan berbanding dari kerajaan negeri hari ini.
“UMNO Bahagian Klang memberikan bahan mentah seperti beras, ayam, sayur dan telur untuk mereka memasak dan ianya berbeza di PPS Telok Gong kerana mereka tidak boleh memasak maka kami telah menghantar makanan yang sudah masak sebanyak 1,500 bungkus tetapi tidak mampu hendak membeli barang-barang masak kerana kos barangan sangat tinggi,” katanya lagi. – UMNO Online