Tradisi UMNO/BN Ikhlas, Komited Bantu Rakyat Berdepan Ujian – Zahid

SEPANG, 21 Dis – UMNO serta Barisan Nasional (BN) akan terus komited membantu rakyat terutama ketika bencana alam yang melanda beberapa buah negeri termasuk di Lembah Klang.

Jelas Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi situasi itu terbukti apabila jentera parti bertungkuns-lumus membersihkan kediaman yang rosak termasuk memberikan bantuan keperluan harian.

“Keprihatinan UMNO dan BN ini bukan kerana ada unsur-unsur politik tetapi kita jadikan ianya suatu kelaziman sama ada bencana negara atau tempatan.

“Kita mesti menggerakkan seluruh jentera kita di peringkat bahagian-bahagian dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membantu mangsa-mangsa banjir ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang bersama-sama dengan pegawai yang memberikan kebenaran sementara… saya yakin apabila mangsa-mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) ianya akan lebih selesa keadaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa memberikan sumbangan kepada mangsa banjir di Masjid Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengerusi BN itu juga sebentar tadi memberikan bantuan dan melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Jawa dan beberapa rumah di Petaling Jaya sebagai sokongan moral kepada mereka yang berdepan dengan musibah ini.

Turut hadir adalah Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Penyelaras Bantuan Bencana Banjir BN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Sementara itu Shamsul yang dijumpai sebentar tadi turut memaklumkan bahawa Bantuan Bencana BN ini telah mula diedarkan pada Ahad lalu dan diberikan melalui UMNO/BN Parlimen atau bahagian untuk disampaikan kepada mangsa yang terlibat.

Menurut beliau ketika ini sudah 20,000 bantuan makanan diedarkan di 17 kawasan terjejas di Selangor dan lima daerah di Kuala Lumpur telah diberikan setakat ini. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.