Isu Banjir Di Taman Sri Muda Perlu Diselesaikan Segera – PM

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Negara yang bersidang hari ini mencapai persetujuan supaya isu banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, perlu diselesaikan segera.

Sehubungan itu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau mengarahkan semua agensi mengatur kerja dengan lebih agresif untuk membantu mangsa banjir di kawasan berkenaan.

“Sehingga petang ini, sebanyak 41 bot, 16 lori dan juga lain-lain aset telah digerakkan ke Taman Sri Muda dengan kekuatan anggota pasukan penyelamat seramai 321 orang,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat khas itu hari ini.

Ismail Sabri berkata selain itu, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga diarahkan untuk segera menggerakkan 20 aset pam mudah alih ke kawasan yang terjejas, tambahan kepada empat buah pam sedia ada.

Beliau berkata ia bertujuan untuk mengepam air dari kawasan mengalami banjir genang (termenung) ke sungai berhampiran.

“Pam-pam tambahan yang diperoleh daripada pelbagai agensi termasuk yang dimiliki oleh JPS Selangor, akan digunakan untuk mengalirkan air genang ke Sungai Klang,” katanya.

Perdana Menteri berkata beliau turut bersetuju dengan cadangan supaya beberapa bahagian benteng sungai dipecahkan atau ditebuk buat sementara, bagi mengalirkan air genang keluar ke sungai.

Beliau bagaimanapun berkata lokasi penebukan sedang dimuktamadkan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan mengalu-alukan sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir, namun perlu merujuk kepada Pusat Pengurusan Bencana Daerah terlebih dahulu.

Taman Sri Muda adalah antara kawasan dilanda banjir teruk sejak Sabtu lepas, yang menyebabkan ramai penduduk terperangkap akibat bencana itu. – BERNAMA