Banjir: Cadang Tingkat Pelepasan Air Sungai Ke Laut, Gunakan Kepakaran Teknologi Kejuruteraan

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Ketua UMNO Cawangan Sri Maha, Bahagian Petaling Jaya, Ahmad Faez Bahari memberikan beberapa cadangan kepada kerajaan bagi mengelakkan bencana banjir seperti yang berlaku pada minggu lalu berulang.

Katanya, antara kaedah yang boleh dilakukan adalah dengan memberi tumpuan untuk meningkatkan pelepasan air sungai ke laut dengan bantuan teknologi dan kepakaran kejuruteraan.

“Memperhalusi sistem dan struktur kebergantungan saliran air. Inisiatif dan peruntukan naik taraf sistem peparitan dan penyelenggaran sungai telah dibuat 10 tahun dahulu di Selangor dan Kuala Lumpur, iaitu pembinaan kolam takungan air, pembinaan rumah pam air banjir, pembinaan longkang dan menaik taraf sistem papritan secara amnya.

“Apabila hujan lebat mengakibatkan limpahan air tidak mudah dijangka, sistem saliran air yang sedia ada masih menerima kesesakan bagi sungai-sungai untuk menampung pelepasan air ke laut.

“Fokus bagi meningkatkan pelepasan air sungai ke laut harus dipertingkatkan dengan bantuan kepakaran bagi membenarkan had limpahan air sungai mampu dilepaskan secara sistematik,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah beliau lagi, langkah drastik juga perlu dilakukan bagi mengenal pasti saliran yang sesuai termasuk kawasan yang berpotensi untuk menghadapi bencana termasuk sungai yang tidak dapat menampung had air yang tinggi, longkang tersumbat dan sistem saliran yang tidak sempurna terutama di sekitar tapak pembinaan.

“Peranan pihak berkuasa tempatan, negeri dan pemaju memegang peranan penting bagi membantu mewujudkan saliran yang sesuai di tempat aktiviti pembangunan dan tempat jana kuasa Tenaga Nasional Berhad.

“Memartabatkan aspirasi Keluarga Malaysia. Masyarakat hendaklah mempunyai sifat dan sikap toleransi terhadap jiran, komuniti seperti mana kita semua berperanan menjaga setiap ahli keluarga kita di rumah. Tabiat buruk membuang sampah merata tempat, longkang dan sungai harus dihentikan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.