UMNO Amalkan Keterbukaan Tapi Jangan Sampai Rosakkan Parti – Zahid

BAGAN DATUK, 18 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO mengamalkan keterbukaan dalam berbeza pandangan, tetapi jangan sampai keterbukaan itu merosakkan parti.

Menurutnya, apa yang berlaku kepada UMNO kini menunjukkan kematangan parti berpolitik dengan sikap telus, terbuka dan meraikan setiap perbezaan.

“Saya amat meraikan perbezaan pendapat apatah lagi kepelbagaian yang dilontarkan dan menyantuni semula pendapat-pendapat yang berbeza apabila kepimpinan utama parti membuat sesuatu ketetapan berdasarkan maklum balas dan usul-usul yang diterima daripada sayap-sayap UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Usul-usul yang diberikan daripada Bahagian merupakan usul yang majoriti maka itulah akan jadi ketetapan dan keputusan parti. Jika ada di kalangan yang tidak bersetuju dengan usul-usul itu maka sebagai sebuah parti yang amat demokratik sifatnya mana-mana individu dan pemimpin harus menghormati ketetapan dan keputusan itu termasuk juga saya.

“Janganlah apabila kita berada di dalam barisan kepimpinan dan parti telah membuat ketetapan dan keputusan maka ia wajar diterima,” katanya kepada media di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, hari ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk menjelaskan kesemua usul yang dibincangkan pada mesyuarat UMNO bahagian–bahagian akan diputuskan oleh kepimpinan Tertinggi UMNO.

“Tentunya kelima-lima kepimpinan parti UMNO iaitu Presiden, Timbalan dan Naib-naib Presiden UMNO akan melihat secara terperinci implikasi yang akan berlaku atau sebaliknya dan jika sesuatu keputusan itu dibuat maka keutamaan harus dilihat bagi memperkukuhkan parti untuk memenangi pilihan raya.

“Kita akan teliti usul-usul dan ketetapan daripada bahagian-bahagian sebelum kelima-lima kepimpinan parti UMNO ini membuat penelitian dan akan mengemukakan dalam mesyuarat tertinggi UMNO pada bulan Januari ini sebelum Perhimpunan Agong UMNO diadakan,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.