Sidang Khas DUN Johor Pinda Had Umur Mengundi, Calon ADUN 6 Jan

PONTIAN, 18 Dis – Satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bagi menurunkan had kelayakan umur mengundi dan calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun, akan diadakan pada 6 Jan depan.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata sidang khas sehari itu selaras dengan pindaan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 [Akta A1603].

“Johor perlu lakukan pindaan ini bagi menyeragamkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dengan Perlembagaan Persekutuan. Kita pinda supaya kelayakan mengundi dan menjadi calon diturunkan ke usia 18 tahun kerana tidak mahu memberi isyarat salah kepada orang muda di Johor.

“Johor tidak mahu orang muda anggap kerajaan negeri menyekat mereka jika pindaan itu tidak dibuat sekali gus mengelakkan implikasi undang-undang termasuk jika Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan di masa hadapan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pontian di sini hari ini.

Pada 28 Nov, Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata satu sidang khas DUN Johor akan diadakan dalam masa terdekat bagi meminda Fasal 16 Bahagian 2, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor yang ketika ini hanya membenarkan warganegara berusia 21 tahun bermaustatin di negeri ini, layak menjadi calon ADUN.

Sebelum ini, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dilaporkan bersetuju meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing bagi membolehkan individu berusia 18 tahun untuk mengundi dan menjadi calon Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PRK. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.