Saya Akan Pastikan Agenda Bumiputera Terus Diperkasa – PM

BERA, 18 Dis – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memberi komitmen akan terus memperkasa Agenda Bumiputera.

Ujar Naib Presiden UMNO itu, selain dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan, ia juga perlu dilaksanakan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Dari segi Agenda Bumiputera, saya telah umumkan di dalam Rancangan Malaysia Keduabelas (RMK-12) dan di dalam Belanjawan 2022 kita telah pun membentangkan dua-dua perkara itu dan menyebut dengan jelas tentang Agenda Bumiputera.

“Kabinet juga semalam kita berbincang bahawa Agenda Bumiputera ini perlu, bukan sahaja dilaksanakan oleh agensi-agensi yang mendapat mandat ataupun syarikat-syarikat mendapat mandat kerajaan untuk memperkasa Agenda Bumiputera, tetapi juga membuat keputusan semalam untuk mempastikan GLC-GLC juga mesti mempunyai perancangan di dalam memperkasakan Agenda Bumiputera,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

Jelasnya, bagi pihak kerajaan, kementerian-kementerian telahpun diarahkan untuk mewujudkan unit memperkasakan Agenda Bumiputera di kementerian masing-masing.

Tegas Ketua UMNO Bahagian Bera itu lagi, Agenda Bumiputera menjadi teras kepada kerajaan dan tidak boleh dipersoalkan kerana ia termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Agenda Bumiputera akan terus menjadi teras kepada kerajaan hari ini dan perkara ini tidak boleh dipersoal kerana ianya merupakan satu perkara yang terkandung di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan iaitu untuk membangunkan ataupun memperkasakan agenda bumiputera yang telahpun ditulis dengan jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun ada pihak yang agak kurang puas hati kerana bajet untuk agenda bumiputera ini dijelaskan dan nampak besar tetapi sebenarnya itu adalah hak yang telahpun tertulis di dalam Perlembagaan.

“Jadi, dari segi Agenda Bumiputera Insya-Allah kita akan teruskan lagi dan perkasakan dan semua pihak yang berkaitan dengan kerajaan akan terlibat dengan Agenda Bumiputera,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Ismail Sabri turut menyentuh ketika mula memegang jawatan Perdana Menteri, beliau berhadapan dengan tiga cabaran utama iaitu ketidakstabilan politik, kes jangkitan COVID-19 yang tinggi dan masalah ekonomi yang tenat kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menutup banyak aktiviti perniagaan.

Katanya, perkara tersebut menjadi keutamaan kerajaan di bawah pimpinannya kini sebagaimana juga titah Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang mahukan kerajaan fokus kepada tiga perkara tersebut. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.