Ismail Sabri Ucap Selamat Bersidang Kepada Perwakilan UMNO Bahagian

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengucapkan selamat bersidang kepada semua perwakilan yang menghadiri 191 Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian di seluruh negara.

Menerusi perkongsiannya dalam laman Facebook, beliau berkata sebagai parti yang mengutamakan agenda rakyat, UMNO akan terus menjadi wadah anak bangsa yang memayungi kesejahteraan serta kejayaan negara.

“Bersama kita membulat tekad, agar parti keramat UMNO sentiasa dipelihara dengan semangat menjunjung kepentingan rakyat, agama, bangsa dan tanah air tercinta,” kata Ismail Sabri.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 8 Dis lepas memutuskan untuk mengadakan mesyuarat empat peringkat UMNO iaitu Wanita, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri dan UMNO Bahagian pada 11, 12, dan 18 Dis di seluruh negara.

MKT UMNO juga memutuskan Perhimpunan Agung UMNO 2021 diadakan pada 13 hingga 15 Jan depan secara hibrid. – BERNAMA