COVID: Rakyat Jangan Alpa Walau Kes Baru Semakin Menurun – PM Ismail Sabri

BERA, 18 Dis – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengingatkan rakyat untuk tidak alpa walaupan kes baru COVID-19 mula menunjukkan penurunan sejak kebelakangan ini, berbanding puluhan ribu kes semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Beliau berkata semua rakyat perlu menyedari situasi COVID-19 di Malaysia masih ‘belum pulih dan belum selamat’, walaupun jumlah kes baharu sudah berjaya diturunkan menerusi pelbagai kaedah termasuk vaksinasi dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi mengurangkan penularan jangkitan baru.

“Semasa pengumumkan PKP pertama jumlah kes ialah ratusan dan saya telah berjanji kepada rakyat bahawa bila kita membuka semula negara, buka semula peluang perniagaan, kita tidak akan tutup semula. Sebab itu yang boleh pastikan PKP tidak diperkenalkan semula ialah kita sendiri dengan mematuhi SOP.

“Kerajaan sudah berjanji tidak akan ada PKP seperti dahulu, tetapi kalau kes tiba-tiba meningkat disebabkan varian baru ini, mungkin sukar untuk kita mengekalkan keadaan ini,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di sini hari ini.

Beliau berkata pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) khususnya pemakaian pelitup muka dan tidak berada dalam kawasan sesak perlu terus dipraktikkan terutamanya selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kes kedua varian Omicron di Malaysia, baru-baru ini.

Ismail Sabri berkata Malaysia juga perlu mengambil iktibar daripada pengalaman negara luar yang hampir berjaya mengatasi penularan COVID-19, namun akhirnya kes baharu dan kematian kembali meningkat akibat ketidakpatuhan SOP.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata kestabilan politik penting untuk negara kembali pulih daripada kesan ekonomi yang berpunca daripada COVID-19, selain turut menjejaskan pelaburan luar negara di Malaysia.

Disebabkan itu, kestabilan politik dijadikan sebahagian daripada tiga agenda utama beliau selepas mengambil alih pentadbiran negara, membawa pertemuan bersama pemimpin pembangkang bagi mendapatkan persefahaman bagi memberi ruang secukupnya, bagi beliau mengatasi masalah COVID-19 dan ekonomi negara.

“Sebelum itu, kita lihat bagaimana keadaan dalam Parlimen seperti berperang dari awal mula bersidang hingga akhir, selain serangan sana sini menerusi media. Selepas mencapai persefahaman dengan pembangkang walaupun tidak semua, keadaannya adalah lebih baik walaupun perang mulut masih berlaku.

“Ia lebih terkawal dan saya beritahu mereka untuk terus membangkang kerana sebagai pemimpin negara, saya memerlukan pembangkang yang produktif dan tidak emosi dalam memberikan pandangan, kerana ia diperlukan sebagai semak dan imbang,” katanya.

Pada ucapannya, Ismail Sabri juga berpandangan UMNO perlu diperluaskan dengan menerima badan bukan kerajaan (NGO) Melayu sebagai ahli bersekutu, bagi menjadikan peranan parti sebagai payung dan ejen penyatuan Melayu lebih dirasai dan dilihat dengan jelas.

Selain menyatupadukan Melayu, beliau berkata UMNO juga perlu kekal dengan peranan menyatupadukan orang Melayu dengan bangsa-bangsa lain di negara yang berbilang kaum, yang telah dimulakan oleh pimpinan terdahulu menerusi penubuhan Parti Perikatan yang kini dikenali sebagai Barisan Nasional.

Ismail Sabri juga berharap hubungan antara UMNO dan PAS di Bera terus kukuh, walaupun terdapat kenyataan akhbar yang agak keras antara pemimpin atasan kedua-dua parti yang disiarkan di media, kerana keutamaan adalah penyatuan Melayu Islam dan Bumiputera.

Pimpinan parti di Bera juga diingatkan untuk terus mendekati rakyat supaya UMNO kekal relevan dan menjadi juara rakyat, selain mula mendekati pengundi muda termasuk mereka yang layak mengundi secara automatik pada usia 18 tahun, bagi mengekalkan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.