Puteri UMNO Lontar Tiga Usul, Mahukan Pemilihan Selepas PRU-15

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO yang berlangsung pada 11 dan 12 Disember melontarkan tiga usul utama menerusi persidangan terbabit.

Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Asuma Beevi Mohamed Sali memaklumkan bahawa mesyuarat Puteri UMNO telah berlangsung dengan baik dan mengikut SOP yang ditetapkan.

“Mesyuarat perwakilan setahun sekali ini adalah platform untuk para perwakilan melontarkan pandangan dan cadangan yang seterusnya akan diangkat di peringkat tertinggi untuk dikaji-selidik perlaksanaannya. 180 bahagian telah menghantar usul kali ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, usul-usul ini akan diperhalusi dan dibahas di Persidangan Agung UMNO Pergerakan Puteri UMNO Malaysia bagi mendapatkan mandat perwakilan seterusnya dimuktamadkan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

“Selain agresif bersiap-siaga menunggu gendang perang dipalu, harapan para perwakilan Pergerakan Puteri UMNO seluruh negara adalah agar suara anak muda diangkat dan terus diperkasakan demi kelangsungan parti keramat ini.

“Mewakili Pengurusan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, saya mengucapkan syabas kepada para perwakilan Pergerakan Puteri UMNO seluruh negara yang matang, lantang dan bijak memilih platform yang betul untuk menyuarakan pendapat kepada pimpinan yang tertinggi.

“Besar harapan kami agar usul-usul yang dibawa ini akan diperhalusi sebaiknya dan dizahirkan dengan ketetapan yang akan membawa kebaikan kepada parti dan rakyat Malaysia secara amnya.”

Tiga usul utama yang dibawa oleh para perwakilan Pergerakan Puteri UMNO seluruh negara adalah seperti berikut:

Pertama, 171 bahagian bertegas mahukan jentera parti dipimpin dan difokuskan ke arah gerakerja memenangi pilhanraya ke 15 sebagai agenda utama parti dan hanya mengadakan pemilihan parti selepas PRU 15. Ini bagi memastikan seluruh jentera dan kepimpinan parti memberi fokus 100% kepada agenda membela rakyat dan menjadi suara rakyat menjelang PRU 15 nanti. Ketidakstabilan parti menuju ke PRU 15 selepas pemilihan akan memberi impak negatif jangka panjang kepada parti dan rakyat khususnya.

Usul kedua yang disokong sebulat suara oleh para perwakilan yang bersidang tempohari adalah memastikan wanita muda dinamakan sebagai calon pilihan raya demi memperkasa dan menaiktaraf kedudukan golongan muda di dalam parti. Pentas politik negara dan dunia hari ini memerlukan golongan intelektual muda, idealistik, berfikiran jauh, berdaya saing selari dengan peredaran masa dan mampu bersuara mewakili golongan muda untuk berada di dalam dewan pembuat dasar yang akan menentukan masa hadapan anak muda. Strategi berani dan bernas oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di PRN Melaka tempohari yang mengetengahkan lebih ramai calon muda dan muka baru jelas mendapat sokongan daripada rakyat apabila calon-calon muda dan muka baru ini dipilih oleh rakyat untuk menjadi wakil mereka.

Usul ketiga yang dibawa suara majoriti perwakilan Pergerakan Puteri UMNO adalah mendesak kerajaan agar menjadi sebuah kerajaan yang memperkasakan wanita dan memberi ruang seluas-luasnya kepada wanita dalam penggubalan dasar negara. Hari ini kabinet Malaysia hanya membuka ruang kepada 5 Menteri dan 4 Timbalan Menteri wanita (0.13%) sahaja. Oleh itu, kerajaan di desak agar melantik sekurang-kurangnya 30% wakil wanita di dalam kabinet Malaysia dan menjadikan ini sebagai satu peraturan dalam membentuk kabinet negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.