Perak Patuh Catuan Tebangan Di Hutan Simpanan Kekal – Menteri Besar

IPOH, 17 Dis – Aktiviti pengusahasilan hutan di Perak hanya dilaksanakan di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran berdasarkan kepada Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang ditetapkan Majlis Tanah Negara (MTN).

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata bagi tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), CTT yang diluluskan adalah sebanyak 33,000 hektar atau pada kadar 6,600 hektar setahun dan CTT bagi tahun 2019 adalah sebanyak 8,058 hektar, tahun 2020 adalah sebanyak 6,642 hektar manakala tahun 2021 adalah sebanyak 5,337 hektar.

“Pematuhan keluasan kawasan HSK untuk pembalakan adalah selaras dengan keputusan MTN bagi menjamin keberkekalan dan kestabilan sumber bekalan kayu di negeri Perak,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Saarani (BN-Kota Tampan) berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Aminuddin Zulkipli (Amanah-Behrang) yang ingin tahu keluasan kawasan hutan simpan yang telah dibenarkan untuk tujuan pembalakan yang telah diluluskan sepanjang 2019 hingga 2021 dan status terkini kawasan tersebut.

Aminuddin juga ingin tahu langkah-langkah strategik yang telah dilaksanakan bagi mengatasi masalah pencemaran kawasan hutan untuk tadahan hujan dan kawasan sumber bekalan air negeri Perak akibat daripada penerokaan kawasan pembalakan.

Saarani berkata status terkini bagi kawasan hutan simpan yang telah diluluskan bagi tujuan pembalakan tahun 2019 adalah seluas 8,058 hektar yang kesemua kawasan telah selesai dibalak dan bagi tahun 2020 pula sebanyak 6,642 hektar iaitu 6,182 hektar telah selesai dibalak manakala 460 hektar masih sedang diusahakan.

“Bagi tahun 2021, kawasan seluas 5,337 hektar telah diluluskan bagi tujuan pembalakan iaitu 1,334 hektar telah selesai dibalak manakala 4,003 hektar masih sedang diusahakan.

“Proses pelesenan adalah mengikut Sistem Pengurusan Memilih (SMS) yang dilaksanakan secara sistematik dan terkawal di bawah Pengurusan Hutan Secara Berkekalan,” katanya.

Menurutnya sehingga kini, tiada sebarang pencemaran dalam kawasan Hutan Tadahan Air kerana ia dikelaskan sebagai Hutan Perlindungan dan juga Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

Katanya langkah mitigasi akan diambil bagi mengatasi pencemaran air sungai dalam kawasan HSK yang setiap aktiviti pembangunan hutan disyaratkan untuk menubuhkan Zon Penampan dengan kelebaran sekurang-kurangnya 10 meter di kiri dan kanan dan mengikut kelebaran sungai untuk mengurangkan kesan air larian (water run-off).

Saarani berkata tindakan pemulihan akan dilakukan dengan mengambil kira pandangan agensi teknikal seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak dan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Negeri Perak sekiranya sebarang pencemaran dikesan malah Jabatan Perhutanan Negeri Perak juga akan melaksanakan aktiviti penanaman pokok hutan di kawasan yang terlibat.

Katanya JAS Perak sentiasa memantau aktiviti yang tertakluk di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

Beliau berkata terdapat 32 projek aktiviti perhutanan yang mempunyai kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) berdasarkan rekod JAS dari tahun 2015 hingga tahun 2021 yang perlu melaksanakan beberapa perkara termasuk Penyediaan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Pelan Land-Disturbing Pollution Prevention dan Mitigation Measures (LD-P2M2) bagi tujuan kawalan hakisan dan kelodakan.

Selain itu, projek berkenaan perlu melantik pegawai alam sekitar (EO) yang kompeten dan bertanggungjawab ke atas perkara berkaitan pengurusan alam sekitar dan menjalankan kerja-kerja pemantauan di lapangan mengikut syarat-syarat kelulusan EIA.

“Pelaksanaan Audit Alam Sekeliling Pihak Ketiga dan membuat pelaporan kepada JAS berkenaan sebarang ketidakpatuhan serta langkah pembaikan secara proaktif dan pelaporan berkenaan pengawasan alam sekitar kepada JAS secara berkala (3 bulan sekali) juga perlu dilakukan,” katanya.

Sekiranya terdapat pelanggaran syarat kelulusan, pemegang kelulusan EIA boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 34A(7), AKAS 1974 dan JAS Perak juga boleh mengenakan Perintah Larangan untuk menghentikan pembangunan sesuatu aktiviti perhutanan yang menyebabkan pencemaran seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 34AA(1) akta sama. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.