Wanita Terus Komited Bekerja, Sedia Hadapi PRU-15 – Norshida

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Wanita UMNO sebagai penggerak tulang belakang parti telah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Ketua Penerangannya, Datuk Norshida Ibrahim.

Jelas beliau, Wanita telah mempersiapkan pasukan Jalinan Rakyat (JR), penggunaan media sosial termasuk memperhalusi kaedah dalam mendekati pengundi luar.

“Saya yakin dengan kesungguhan kita bekerja termasuk calon yang diletakkan itu mudah menang dan disenangi rakyat… Wanita akan sentiasa bekerja memastikan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

“Wanita tidak mahu sekadar menjadi jentera politik sahaja malah kami mahu dilihat sebagai penyelesai masalah atau perantaraan dalam kalangan rakyat termasuk mengenal pasti isu-isu yang boleh dibantu untuk kita majukannya kepada wakil rakyat sedia ada… itu penting.

“Kita mempunyai JR yang sangat ramai yang memastikan keseluruhan dalam sesuatu kawasan Parlimen itu bergerak mengikut kumpulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘UMNO Masih Jurucakap Terbaik Rakyat’ yang disiarkan secara langsung semalam di Facebook UMNO Online.

Jelas Ketua Wanita UMNO Segamat itu lagi, sumbangan Wanita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan lalu diakui apabila menjalankan gerak kerja dengan sebaiknya dalam memberi kemenangan kepada calon BN.

Menurut beliau, kempen norma baharu juga berjaya diaplikasi Wanita malah sehingga rakyat memahami hasrat murni parti dalam membela nasib rakyat di negeri itu.

“JR ini bukan belajar baharu tetapi kita telah mengamalkan norma baharu jadi salah satu perkara yang kita tekankan adalah penggunaan media sosial.

“Saya tidak melihat dengan adanya kempen menerusi media sosial Wanita menjadi kaku sebab kita sudah gerakkan Wanita dan sedia maklum bahawa media sosial adalah medium yang sangat penting untuk masa hadapan.

“Kita harap menggunakan kaedah ini dapat menyebarkan maklumat rakyat di akar umbi,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.