Untung Berbilion Ringgit, Bank Wajar Serap Caj MEPS – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Pemuda UMNO berpendirian tegas sekarang bukanlah masa sesuai untuk meneruskan kembali caj RM1.00 (Sistem Pembayaran Elektronik Malaysia-MEPS) yang dikenakan bagi setiap pengeluaran wang tunai antara bank.

Ujar Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sebaliknya inilah masanya bank-bank wajar menzahirkan nilai-nilai tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebenar berbanding hanya membudayakan orientasi kapitalisme memaksimumkan keuntungan semata-mata.

Katanya, bank-bank utama tempatan sepatutnya boleh sahaja menyerap caj RM1.00 bagi setiap pengeluaran wang tunai antara bank di mesin pengeluaran wang otomatik (ATM) demi rakyat.

“Kerana semakan keuntungan terkumpul bagi tahun 2021 sehingga 30 September 2021 (9M/2021) mencecah puluhan bilion ringgit,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Di dalam statusnya itu, Dr Asyraf turut menyenaraikan keuntungan yang diperolehi oleh pihak bank pada tahun semasa.

Maybank – RM6.04 bilion
Public Bank – RM4.28 bllion
CIMB – RM3.44 bilion
Hong Leong Bank – RM2.17 bilion
RHB – RM1.99 bilion
AMMB – RM707.64 juta
Bank Islam – RM454.67 juta
Affin Bank – RM320.09 juta
Alliance Bank – RM315.75 juta

Tambah Dr Asyraf lagi, dalam keadaan pandemik yang belum reda, prospek pemulihan ekonomi yang lembab, harga barang keperluan naik mencanak, tiada lagi moratorium bermula Januari, bantuan tunai kerajaan yang bersasar dan tidak menyeluruh dan tiada keputusan pengeluaran terakhir simpanan sendiri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); pastinya semua ini menunjukkan situasi rakyat yang sukar dan masih bergelut dengan kekurangan tunai.

Semalam, dilaporkan ada bank tempatan mengumumkan bahawa mereka akan mengenakan semula caj RM1.00 kepada pelanggan yang mengeluarkan wang tunai di mesin ATM bukan milik mereka dan akan dikuatkuasa pada 1 Februari tahun hadapan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.