Sidang Dewan Rakyat Dilanjutkan Lagi Sehari, 20 Dis

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Persidangan Dewan Rakyat yang sepatutnya berakhir hari ini ditambah sehari pada Isnin ini, (20 Dis) bagi membolehkan Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 dibincang dan diputuskan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun dalam pemaklumannya berkata penambahan sidang itu telah dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ketua Majlis selaras Peraturan Mesyuarat 11 (2) Dewan Rakyat.

Peraturan Mesyuarat 11 (2) menyatakan antaranya Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal, tarikh-tarikh Majlis akan bermesyuarat dalam penggal itu, tetapi disyaratkan iaitu Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, rang undang-undang bagi meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu dijadual dibentang bagi bacaan kali kedua hari ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.