Lanjutkan Moratorium Sehingga COVID-19 Selesai, Cadang Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mencadangkan agar pemberian moratorium dilanjutkan sehingga COVID-19 yang melanda negara benar-benar selesai.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian memberi cadangan berikut ketika menyentuh mengenai Fasal 4 pindaan Rang Undang-undang (RUU) Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tambahnya, ia boleh dilaksanakan bersandarkan kepada Fasal 4 RUU tersebut iaitu mengenai mana-mana pihak untuk melaksanakan apa-apa obligasi kontraksual yang timbul dari apa-apa kontrak yang disebabkan oleh langkah-langkah yang ditetapkan boleh mengguna penyelesaian secara perantaraan atau ‘mediation’.

“Apa yang saya ingin tanya dan mohon penjelasan ialah bagaimana dengan moratorium pinjaman bayaran balik untuk rumah, kereta dan perniagaan adakah segalanya itu boleh menggunakan penyelesaian secara perantaraan supaya mereka yang terlibat dalam masalah tetapi sukar untuk membayar balik pinjaman.

“Dan apabila telah ditarik balik moratorium pinjaman mereka akan mula membayarnya dan ini satu bebanan daripada rakyat sebab COVID ini belum selesai sepenuhnya. Ada pula entah apa lagi varian selepas ini.

“Jadi kalau kita hanya menghadkan waktu 1 Jan 2021 hingga 31 Dis 2021 ia tidak boleh dianggap membantu kerana pada tahun depan pun yang hanya beberapa hari lagi, penyakit ini masih belum selesai,” katanya.

Justeru, beliau mengharapkan agar pelanjutan moratorium diberi pertimbangan untuk membantu golongan yang terjejas terutama dari kalangan B40, M40 dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Oleh itu saya ingin mencadangkan supaya apa yang hendak kita pinda ini waktunya itu hendaklah dilanjutkan sehingga COVID benar-benar selesai.

“Supaya apabila moratorium yang ada kontrak, kena bayar selepas itu, katalah kena bayar mulai bulan satu…dua…tiga, rakyat masih lagi boleh memohon ehsan, pertimbangan daripada pihak bank supaya mereka boleh dilanjutkan moratorium pinjaman balik atas kes-kes tertentu,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.