Lulus Pinda Perlembagaan Persekutuan Berkaitan MA63 Bukti Semangat Kesatuan

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Kelulusan dengan majoriti lebih dua pertiga Rang Undang-Undang (RUU) meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Rakyat semalam, bukti semangat kesatuan dalam perbezaan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata kelulusan pindaan itu mencatat satu sejarah baharu dan berharap Keluarga Malaysia di Sabah dan Sarawak dapat merasai semua manfaat serta kebaikannya.

“Dengan izin Allah SWT, usul pindaan Perlembagaan berkenaan definisi negeri-negeri dalam Persekutuan yang melibatkan Sabah dan Sarawak berkaitan MA63 telah mendapat kelulusan penyokong kerajaan dan pembangkang yang hadir dalam Dewan Rakyat.

“Sekalung tahniah dan penghargaan buat Ahli Dewan Rakyat yang telah menyatakan sokongan terhadap usul ini,” kata Ismail Sabri menerusi catatan di Facebook rasmi beliau hari ini.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan MA63 bagi memberi pengiktirafan kepada tuntutan dan status istimewa Sabah dan Sarawak apabila membentuk Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan itu diluluskan setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 200 Ahli Parlimen menyokong manakala 20 orang tidak hadir bagi bacaan kali kedua dan mendapat sokongan 199 Ahli Parlimen dengan 21 orang tidak hadir pada undi belah bahagian untuk bacaan kali ketiga.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pindaan itu akan menyaksikan MA63 diletakkan setaraf dengan Perjanjian Persekutuan 1948 dan Perjanjian Persekutuan 1957.

Wan Junaidi seterusnya berkata dengan mengiktiraf MA63 dalam Perlembagaan Persekutuan, kerajaan kini boleh merujuk kepada semua janji yang dibuat pada 1963 secara terperinci dan dinyatakan dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), yang merupakan kajian mendalam Laporan Suruhanjaya Cobbold mengenai tuntutan Sabah dan Sarawak. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.