Jaringan 5G: Khaled Nordin Sanggah Kenyataan Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Gesaan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kerajaan tidak mengkaji semula model implementasi 5G negara adalah amat memeranjatkan, tegas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya Muhyiddin membayangkan musibah yang bakal berlaku sekiranya model Single Wholesale Network (SWN) yang diterajui Digital Nasional Berhad (DNB) dalam perlaksanaan 5G negara diubah.

Tambah Khaled, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berhujah bahawa negara berdepan kehilangan keyakinan oleh pelabur asing.

“Keyakinan pelabur telah pun terhakis disebabkan oleh keputusan kerajaan melaksanakan model ini atas tiga faktor.

“Pertama, berlakunya intervensi kerajaan yang tidak sihat dalam industri yang sepatutnya dipacu sektor swasta. Kedua, pemain-pemain industri (selain TM) sendiri belum menandatangani sebarang perjanjian dengan DNB.

“Jika pihak industri tempatan sendiri tidak yakin dengan model yang dianjurkan kerajaan, bagaimana pula pelabur luar dapat diyakini?,” soalnya Khaled dalam satu hantaran di Facebook.

Manakala faktor ketiga jelas Khaled, pertikaian di Parlimen tentang keputusan unilateral Kementerian Kewngan (MOF) dalam pembentukan DNB sebagai syarikat tujuan khas (SPV), jelas menunjukkan berlakunya kekacauan dalam tadbir urus kementerian-kementerian yang terlibat.

“Semua ini sudah pasti menyusutkan keyakinan pelabur,” katanya.

Seterusnya ulas Khaled, Muhyiddin juga menyatakan bahawa negara akan kehilangan kos peluang kepada pihak industri sekiranya model ini tidak diteruskan.

“Jika benar kos peluang sebegini realistik, mengapa sehingga sekarang masih tiada pemain industri yang teruja untuk bersama-sama terlibat dalam model usahasama ini,” ujarnya.

Menurut Khaled lagi, hujah Muhyiddin berkenaan kehilangan peluang dan sokongan pekerjaan juga adalah tidak berasas.

“Tidakkah segala peluang pekerjaan dan sokongan infrastruktur ini akan tetap dapat dicipta sekiranya model asal yang dipelopori oleh pihak pemain industri dilaksanakan?

“Malah dengan persaingan kualiti infrastruktur dan perkhidmatan, yang mendapat manfaat terbesar adalah rakyat sendiri,” kata bekas Menteri Besar Johor itu lagi.

Begitu juga kata Khaled dengan alasan memelihara kepentingan kontraktor bumiputra dalam menjustifikasikan gesaannya.

“Bagi model perlaksanaan berbentuk monopoli sebegini, yang mendapat manfaat tetap hanya beberapa pihak tertentu sahaja, terutamanya para kroni tokoh tertentu. Adalah agak menjengkelkan apabila alasan sebegini terus menerus diguna pakai.

“Akses kepada rangkaian internet yang berkualiti dan sentiasa terhubung semakin diiktiraf sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia selari hak untuk pendidikan dan kebebasan peribadi.

“Atas sebab itu, perlaksanaan agenda besar seperti implementasi 5G ini perlu segera diteliti. Terutamanya apabila perlaksanaannya dilihat sangat bercelaru seperti sekarang,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.