ESD: Pemerkasaan Semua Peringkat Pelajar Untuk Tangani Perubahan Global
KUALA LUMPUR, 14 Dis – Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) telah diiktiraf sebagai elemen asas Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu keempat (SDG4) mengenai pendidikan berkualiti dan semua pemboleh utama lain SDG.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah memperjuangkan ESD melalui pemerkasaan pelajar dari semua peringkat umur dengan pengetahuan, kemahiran, nilai dan sikap untuk menangani cabaran global yang saling berkaitan.
“Malaysia menyokong SDGs secara amnya dan SDG4 secara khususnya yang telah diterjemahkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang baru dilancarkan sekali gus melakarkan pembangunan utama negara dari 2021 hingga 2025. Rancangan lima tahun ini menggariskan keperluan untuk membangunkan bakat-bakat/pemimpin masa depan untuk memenuhi pasaran buruh yang dinamik.
“Tumpuan akan diberikan bagi memanfaatkan teknologi baharu yang muncul dalam pendidikan ke arah mengoptimumkan ekosistem pembelajaran digital, mengukuhkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), melalui pembelajaran digital dan memupuk kerjasama industri untuk inovasi yang lebih hebat,” katanya.
Selain itu, beliau berkata matlamat kementerian adalah untuk mengalu-alukan lebih 250,000 pelajar antarabangsa ke negara ini menjelang 2025 memandangkan kini terdapat 90,000 pelajar antarabangsa mendaftar di universiti awam dan swasta Malaysia.
“Walaupun berdepan pandemik, Penarafan Universiti Dunia QS 2021 menyaksikan institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia mencapai tahap baharu. Untuk membolehkan IPT kami meneruskan prestasi cemerlang mereka, jalinan perkongsian baharu dan kukuh mesti dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pengajian Tinggi Datuk Dr Husaini Omar berkata program ini membuka peluang untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelancongan dan pendidikan.
“Saya ingin mengetengahkan program cemerlang yang dikenali sebagai Pelancongan Pendidikan atau Pelancongan Edu yang akan dilancarkan oleh Menteri dalam masa terdekat.
“Program ini disasarkan untuk menyemarakkan Global, lapan anjakan operasi yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 mengenai Pendidikan Tinggi,” katanya.
Turut hadir ialah Duta Besar Malaysia ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Mohd Tariq Sufia. – BERNAMA