PRN Sarawak: Di Bandar Atau Luar Bandar, Kempen Maya Jadi Pilihan Utama

KUCHING, 13 Dis – Ceramah di ruang parkir, kawasan terbuka serta dewan luas dengan kehadiran serta sorakan ratusan orang merupakan kebiasaan setiap kali waktu berkempen dalam mana-mana pilihan raya, namun bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 (PRN12), kebimbangan terhadap ancaman COVID-19 telah membantutkannya.

Kebimbangan itu menyebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan aktiviti kempen secara fizikal, dengan ceramah mahupun syarahan secara fizikal tidak dibenarkan, kecuali di 64 daripada 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), yang mempunyai liputan internet yang lemah.

SPR lebih menggalakkan kempen menggunakan aplikasi sosial, dan calon perlu mengaplikasikan penggunaan teknologi dalam tempoh kempen selaras norma baharu yang perlu diamalkan.

Malah calon-calon juga dilihat lebih berminat dengan medium digital walaupun mereka bertanding di kawasan luar bandar, kemungkinan disebabkan perasaan bimbang terhadap COVID-19.

Kerana itu, setelah hampir seminggu berkempen, pendekatan berkempen di medan maya oleh calon dan parti bertanding dilihat efektif dalam menyampaikan mesej mereka, cuma kaedah dan aplikasi yang dipilih perlu disesuaikan dengan kawasan masing-masing, sama ada tahap liputan internet atau masyarakat di situ.

Penganalisis politik Prof Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata pendekatan berkempen cara baharu secara maya itu dilihat sangat efektif dan berkesan terutamanya dalam kalangan pengundi muda.

“Golongan veteran mungkin masih selesa dengan kempen bersemuka, walaupun ia terbatas dari segi waktu dan SOP. Kempen secara maya ini tiada had – boleh waktu pagi, petang dan malam, manakala bahan kempen (video, gambar) juga boleh dimainkan berulang kali.

“Kempen secara maya juga membolehkan proses berkempen itu dilaksnakan dalam rumah masing-masing (rumah pengundi) tanpa perlu keluar. Maknanya mesej itu boleh disampaikan dengan hanya duduk dan berurusan dari rumah,” katanya.

Mohd Fadzil yang juga Penolong Naib Canselor (Kepimpinan dan Pembangunan) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata sewaktu berkempen, sasaran utama parti bertanding adalah untuk mendapatkan sokongan pengundi atas pagar yang masih belum membuat keputusan memilih calon yang mana.

“Kempen yang baik boleh pengaruh golongan pengundi atas pagar. Bagi golongan tegar dengan satu parti tertentu, itu mungkin agak sukar (mengubah pilihan mereka)… kecuali berlaku kes tertentu melibatkan calon atau parti,” katanya.

Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara Dr Nur Aida Kipli berkata berkempen secara maya merupakan satu cabaran kepada calon-calon bertanding.

“(Yang penting ialah) Kreativiti, gaya penyampaian dan corak bahasa yang bersesuaian dengan semua peringkat lapisan pengundi dan juga demografi penduduk.

“Bahasa yang digunakan untuk bahan kempen juga perlulah mudah dan senang difaham untuk memenangi hati pengundi,” katanya.

Terdapat kira-kira 1.2 juta pemilih berdaftar pada PRN Sarawak ke-12.

Sejumlah 349 calon bersaing dalam PRN12 dengan Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan tarikh pengundian pada 18 Dis manakala pengundian awal pada 14 Dis. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.